Sabtu, 10 Ogos 2019 | 9:32pm
Sebahagian penunjuk perasaan sedang memakai penutup hidung dan mulut. - Foto AFP
Sebahagian penunjuk perasaan sedang memakai penutup hidung dan mulut. - Foto AFP

Penunjuk perasaan Hong Kong tidak hiraukan amaran polis

HONG KONG: Polis di Hong Kong melepaskan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan, hari ini, selepas mereka tidak menghiraukan amaran supaya perarakan itu dibatalkan.

Lebih memburukkan keadaan, penunjuk perasaan turut menyekat persimpangan jalan di beberapa lokasi di bandaraya itu.

Tunjuk perasaan baharu itu berlaku, selepas pemimpin bandar terbabit berjanji untuk tidak berkompromi dengan penunjuk perasaan, ketika gerakan mereka memasuki bulan ketiga.

Aktivis berkumpul di daerah Tai Po, petang tadi, untuk meneruskan perarakan walaupun gagal mendapat permit polis.

Mereka berdepan anggota keselamatan yang memegang sepanduk mengarahkan supaya penunjuk perasaan bersurai atau pihak berkuasa terpaksa menggunakan kekerasan.

Namun, sebelum sebarang pertembungan berlaku, penunjuk perasaan beralih ke beberapa bahagian lain di bandar itu.

Salah satu kumpulan berkumpul di kawasan kejiranan Sha Tin iaitu lokasi polis rusuhan dan penunjuk perasaan bertempur di kompleks membeli-belah mewah, minggu lalu.

Satu lagi kumpulan menuju ke daerah Tai Wai kemudian mula memasang pagar di sepanjang jalan untuk menyekat jalan.

"Tunjuk perasaan, hari ini bukan untuk bertembung dengan polis atau menjaga jalan. Kita akan pergi ke banyak tempat berbeza dan akan pergi sebaik polis.

“Kami tidak akan bertembung dengan polis tetapi hanya akan menimbulkan lebih banyak masalah kepada mereka,” kata salah seorang penunjuk perasaan, Lok, 17. - AFP

Berita Harian X