Khamis, 8 Ogos 2019 | 9:33pm
Seorang lelaki Pakistan melambai ke arah saudara maranya yang berlepas ke India menaiki kereta api Samjhota Express, juga digelar Friendship Express, yang beroperasi antara New Delhi dan Attari di India serta Lahore, Pakistan. Perkhidmatan kereta api itu dihentikan Pakistan susulan isu pelucutan hak istimewa Kashmir. -Foto AFP
Seorang lelaki Pakistan melambai ke arah saudara maranya yang berlepas ke India menaiki kereta api Samjhota Express, juga digelar Friendship Express, yang beroperasi antara New Delhi dan Attari di India serta Lahore, Pakistan. Perkhidmatan kereta api itu dihentikan Pakistan susulan isu pelucutan hak istimewa Kashmir. -Foto AFP

Pakistan henti khidmat kereta api, haramkan filem India

SRINAGAR/ISLAMABAD: Pakistan menghentikan perkhidmatan kereta api ke India hari ini dan mengharamkan filem dari negara itu ketika ia meningkatkan tekanan diplomatik ke atas New Delhi kerana melucutkan status khas Kashmir, rantau di tengah perseteruan 70 tahun mereka.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi minggu ini menarik balik hak Jammu dan Kashmir yang majoriti Islam untuk merangka undang-undangnya sendiri serta membenarkan orang luar rantau itu membeli hartanah di sana dalam cubaan mengukuhkan cengkaman di rantau bertelingkah berkenaan.

Kashmir masih terputus hubungan hari ini dengan perkhidmatan telefon mudah alih dan internet digantung sejak Ahad lalu manakala kira-kira 560 ahli politik dan aktivis ditahan bagi menghalang protes, menurut polis, media dan pemimpin politik.

Pemimpin Kashmir memberi amaran untuk menentang tindakan India manakala Pakistan yang turut menuntut wilayah itu berikrar memperjuangkan hak penduduk yang tinggal di sana.

“Pakistan sedang meneliti pilihan politik, diplomatik dan undang-undang. Kami tidak melihat pilihan ketenteraan. Tidak sama sekali,” kata Menteri Luarnya, Shah Mehmood Qureshi dalam sidang media di Islamabad.

India berkata, menukar status Kashmir adalah isu dalaman negara itu dan menyasar membangunkan rantau berkenaan. Ia menggesa Pakistan menimbang semula keputusan menurunkan hubungan diplomatik.

“Kerajaan India kesal dengan langkah diumumkan Pakistan semalam dan menggesa negara itu mengkaji semula supaya saluran biasa komunikasi diplomatik dipulihara,” kata Kementerian Luar India. -Reuters

Berita Harian X