Rabu, 7 Ogos 2019 | 5:55pm
Shinjiro Koizumi, ahli politik Jepun dari Parti Demokrat Liberal yang memerintah dan anak bekas Perdana Menteri Junichiro Koizumi, mengumumkan kepada media dengan penyiar televisyen Christel Takigawa rancangan perkahwinan mereka, di kediaman rasmi Perdana Menteri Shinzo Abe di Tokyo, Jepun. - Foto REUTERS
Shinjiro Koizumi, ahli politik Jepun dari Parti Demokrat Liberal yang memerintah dan anak bekas Perdana Menteri Junichiro Koizumi, mengumumkan kepada media dengan penyiar televisyen Christel Takigawa rancangan perkahwinan mereka, di kediaman rasmi Perdana Menteri Shinzo Abe di Tokyo, Jepun. - Foto REUTERS

Berita perkahwinan lelaki idaman Jepun panaskan media sosial

TOKYO: Seluruh Jepun panas hari ini dengan berita anak lelaki bekas Perdana Menteri negara itu, Junichiro Koizumi, akan berkahwin dan bakal menjadi bapa tidak lama lagi.

Shinjiro Koizumi, 38, yang mewarisi tanggungjawab politik dan populariti bapanya juga menjadi pilihan popular untuk jawatan berkenaan.

Beliau mengumumkan akan mengahwini Christel Takigawa, personaliti televisyen berdarah Perancis-Jepun, dikenali sebagai wajah kejayaan bidaan Tokyo menjadi hos Olimpik 2020.

Koizumi, anggota Dewan Rakyat, berkata mereka berdua mula bercinta sejak 2018.

Takigawa, yang kini hamil dan berusia 42 tahun Oktober ini, berkata mereka sudah berkawan selama beberapa tahun.

“Apabila bersamanya, saya boleh lupakan zon pertempuran politik, meninggalkan perisai, menjatuhkan senjata dan bertenang.

“Saya menjadi diri sendiri, ini benar-benar membantu saya,” katanya kepada wartawan di pejabat Perdana Menteri yang pernah diduduki bapanya dari 2001 hingga 2006.

Beliau tidak memberikan petunjuk mengenai tarikh perkahwinan dan berkata Takigawa dijangka bersalin awal tahun hadapan.

Takigawa dilahirkan di Paris dan bapanya berasal dari Perancis, bekerja sebagai penyampai berita di Jepun.

Beliau mula dikenali selepas berbicara mengenai layanan tradisi Jepun, ‘omotenashi’ dalam usaha Tokyo membida untuk menjadi tuan rumah kejohanan sukan terulung itu.

Pengumuman itu menjadi topik paling hangat di Twitter Jepun dengan pengguna gembira dan terkejut dengan berita ahli politik muda paling menjadi idaman itu akan berkahwin. — Reuters

Berita Harian X