Jumaat, 2 Ogos 2019 | 12:51am
PENUNGGANG Zomato ketika ditemui di Mumbai. - Foto AFP

Lelaki di India bersalah tolak penghantar makanan Muslim

NEW DELHI: Seorang lelaki Hindu yang menolak penghantaran makanan oleh pemandu Muslim dikenakan hukuman bon berkelakuan baik, selepas didapati bersalah bertindak bertentangan perlembagaan India.

Satu kontroversi tercetus, lewat Selasa lalu, selepas pelanggan dari negeri Madhya Pradesh, tengah India itu memaklumkan dia membatalkan tempahan daripada Zomato kerana pemandu ‘bukan Hindu’ tiba dengan makanannya.

Zomato adalah perkhidmatan penghantaran makanan popular India bertindak balas dengan memaklumkan ‘makanan tidak memilih agama’ dan kenyataan itu disokong 80,000 kali di Twitter.

Superintendan polis Jabalpur, Amit Singh berkata, pelanggan itu diarahkan supaya membayar bon sebanyak 100,000 rupee (RM6,010).

“Jika dia mengulangi tindakan sama dalam tempoh enam bulan akan datang, dia bakal berdepan hukuman penjara atau hilang wang bon ini.

“Kelakuan dia bertentangan dengan perlembagaan dan mencetuskan permusuhan antara komuniti,” katanya. - AFP

Berita Harian X