Rabu, 31 Julai 2019 | 10:14am
Seorang lelaki (tengah) diberkas anggota polis dalam demonstrasi di depan balai polis Kwai Chung, semalam. - Foto EPA
Seorang lelaki (tengah) diberkas anggota polis dalam demonstrasi di depan balai polis Kwai Chung, semalam. - Foto EPA

Penunjuk perasaan, polis bertempur di hadapan balai

HONG KONG: Pertempuran baharu berlaku antara penunjuk perasaan prodemokrasi dan polis di Hong Kong semalam selepas puluhan daripada mereka didakwa merusuh, kesalahan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Bandar raya itu masih goyang susulan tujuh minggu bantahan besar-besaran, sebahagiannya berakhir dengan keganasan, dicetuskan rang kontroversi yang membolehkan proses ekstradisi ke China.

Ia merebak menjadi desakan pembaharuan demokrasi lebih luas dan penggantungan kebebasan dalam cabaran paling sengit kepada pentadbiran Beijing sejak penyerahan pada 1997.

Dalam bantahan terbaharu, polis menggunakan penyembur lada hitam dan belantan terhadap penunjuk perasaan yang berkumpul di luar balai polis di daerah Kwai Chung.

Ratusan melakukan bantahan selepas polis mengumumkan 44 orang yang ditangkap dalam pertempuran Ahad lalu didakwa dengan merusuh.

Penunjuk perasaan bertindak kepada dakwaan itu dengan membaling botol plastik dan payung.

Penunjuk perasaan berkumpul di depan balai polis Kwai Chung. - Foto EPA
Penunjuk perasaan berkumpul di depan balai polis Kwai Chung. - Foto EPA

Dalam imej yang disiarkan secara langsung di Now TV, seorang pegawai dilihat menghala pistol ke arah penunjuk perasaan yang membaling objek ke arahnya di stesen bas berhampiran sehingga beliau dan rakan setugasnya berundur.

Dua hujung minggu sebelum ini menyaksikan peningkatan dramatik tahap keganasan digunakan penunjuk perasaan dan polis yang berulang kali melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai yang membaling benda.

Samseng prokerajaan juga menyerang penunjuk perasaan yang menyebabkan 45 dimasukkan ke hospital. — Agensi

Berita Harian X