Selasa, 30 Julai 2019 | 1:45pm
Penunjuk perasaan di Hong Kong menyekat perkhidmatan kereta api ketika waktu puncak. - Foto Reuters
Penunjuk perasaan di Hong Kong menyekat perkhidmatan kereta api ketika waktu puncak. - Foto Reuters

Penunjuk perasaan ganggu perkhidmatan kereta api

HONG KONG: Ratusan penunjuk perasaan di Hong Kong menyekat perkhidmatan kereta api ketika waktu puncak awal pagi ini, menyebabkan gangguan perkhidmatan komuter dalam kempen anti-kerajaan terbaru di pulau bekas jajahan British itu.

Tunjuk perasaan yang bermula tiga bulan lalu sebagai membantah rang udang-undang ekstradisi membenarkan rakyat Hong Kong dihantar ke China untuk perbicaraan, kini bertukar menjadi bantahan lebih besar terhadap kerajaan bandar raya itu dan ‘tuan’ politik di Beijing.

Bantahan berlaku hampir setiap hari, ada ketika tempoh notis terlalu singkat hingga mengganggu perniagaan, meningkatkan tekanan kepada kerajaan Hong Kong dan memaksa pemantauan polis secara meluas, hingga mereka dituduh menggunakan kekerasan.

Kumpulan penunjuk perasaan menyekat pintu kereta api, mengganggu perkhidmatan dan memaksa ratusan orang meninggalkan stesen kereta api untuk mencari pengangkutan alternatif.

“Kami tidak pasti berapa lama kami akan berada di sini, kami tidak mempunyai pemimpin, seperti yang anda dapat lihat, ini adalah gerakan besar-besaran,” kata Sharon penunjuk perasaan bertopeng yang tidak mahu mendedahkan nama sebenar.

“Bukan niat kami untuk membuatkan orang ramai tidak selesa, tetapi kami perlu membuatkan pihak berkuasa faham kenapa kami membantah. Kami akan meneruskan bantahan selama lama diperlukan,” katanya.

Pengendali perkhidmatan kereta api, MTR Corp berkata, beberapa perkhidmatan terganggu serta menggesa orang ramai menggunakan perkhidmatan lain. - Reuters

Berita Harian X