Ahad, 28 Julai 2019 | 6:28pm
PENGERUSI Jawatankuasa Dewan Hal Ehwal Luar Amerika Syarikat (AS), Eliot Engel. - Foto Reuters
PENGERUSI Jawatankuasa Dewan Hal Ehwal Luar Amerika Syarikat (AS), Eliot Engel. - Foto Reuters

China tolak komen AS isu penunjuk perasaan Hong Kong

BEIJING: China menolak keras ‘dakwaan salah’ oleh Pengerusi Jawatankuasa Dewan Hal Ehwal Luar Amerika Syarikat (AS), Eliot Engel yang mengkritik pendirian Parti Komunis China berhubung protes di Hong Kong.

Engel dalam satu kenyataan berkata, beliau agak bimbang dengan laporan berhubung keganasan polis di Hong Kong dan mengkritik tindakan Beijing yang semakin keras dan bersifat propaganda terhadap penunjuk perasaan.

Pejabat Kementerian Luar China di Hong Kong dalam satu kenyataan membidas tajam dakwaan AS itu sambil menggesa ahli politik luar negara untuk berhenti menghantar ‘isyarat yang salah’ berhubung perilaku ganas ini.”

“Apa kelayakan ahli politik AS untuk mengkritik hak asasi manusia, kebebasan dan peraturan perundangan Hong Kong?,” katanya.

Protes Hong Kong yang kembali tercetus beberapa hari lalu, pada asalnya menentang rang undang-undang ekstradisi yang membenarkan penduduk dihantar ke tanah besar China untuk dibicarakan.

Ia kemudian berkembang menjadi gesaan untuk memperluaskan lagi reformasi demokratik.

China baru-baru ini percaya, pegawai AS menjadi dalang di sebalik protes pro-demokrasi di Hong Kong dan meminta AS untuk ‘tidak campur tangan’. - Reuters

Berita Harian X