Sabtu, 27 Julai 2019 | 11:20pm
Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan peluru getah, sementara penunjuk perasaan membaling batu, ketika pertembungan di sebuah kawasan pinggir bandar Hong Kong, hari ini. - Foto AFP
Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan peluru getah, sementara penunjuk perasaan membaling batu, ketika pertembungan di sebuah kawasan pinggir bandar Hong Kong, hari ini. - Foto AFP

Polis guna gas pemedih mata, peluru getah di Hong Kong

HONG KONG: Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan peluru getah, sementara penunjuk perasaan membaling batu, ketika pertembungan di sebuah kawasan pinggir bandar Hong Kong, hari ini.

Keganasan itu berlaku, ketika ribuan aktivis berhimpun untuk membantah satu serangan disyaki dilakukan geng jenayah di sebuah stesen kereta api bandar terbabit, hujung minggu lalu.

Walaupun polis tidak membenarkan perarakan di Yuen Long atas sebab keselamatan, aktivis tetap meneruskan perarakan di lokasi serangan itu.

Penunjuk perasaan membaling batu dan botol serta membina penghadang daripada perabot dan payung sehingga menyebabkan beberapa pertempuran.

Polis dikritik hebat kerana gagal melindungi penduduk awam daripada serangan, hujung minggu lalu.

Namun, pasukan keselamatan itu bertindak dengan melepaskan tembakan gas pemedih mata, peluru getah dan bom span untuk mengawal penunjuk perasaan, hari ini.

Ahad lalu, kira-kira 100 lelaki berpakaian putih menyerbu stesen kereta api di Yuen Long, beberapa jam selepas penunjuk perasaan mara ke tengah Hong Kong dan merosakkan pejabat perhubungan China yang menjadi simbol kekuasaan Beijing terhadap wilayah bekas koloni Britain itu. - Reuters

Berita Harian X