Ahad, 21 Julai 2019 | 4:59pm
Polis Hong Kong menutup pusat bandar raya hari ini sebagai persediaan berdepan tunjuk perasaan besar-besaran. - Foto EPA
Polis Hong Kong menutup pusat bandar raya hari ini sebagai persediaan berdepan tunjuk perasaan besar-besaran. - Foto EPA

Polis tutup pusat bandar, sedia hadapi tunjuk perasaan

HONG KONG: Polis Hong Kong menutup pusat bandar raya hari ini sebagai persediaan berdepan tunjuk perasaan besar-besaran membantah rang undang-undang ekstradisi hab kewangan China itu hingga menimbulkan krisis dan mencetuskan pergaduhan ganas.

Ribuan penunjuk perasaan dijangka berarak dari Victoria Park di kawasan membeli-belah Causeway Bay menuju ke Wan Chai, hanya satu jarak metro stesen, selepas polis memendekkan laluan.

Penganjur perarakan gagal dalam rayuan mereka untuk mengakhiri perarakan di daerah Tengah, berhampiran dengan tempat kejadian pada Jun lalu yang memaksa polis melepaskan tembakan menggunakan peluru getah dan gas pemedih mata untuk menyuraikan aktivis dalam tunjuk perasaan paling ganas menggegarkan pulau bekas jajahan British itu dalam tempoh beberapa dekad.

Bantahan itu dibuat sehari selepas puluhan ribu penunjuk perasaan berhimpun untuk mendapatkan sokongan suara untuk polis dan sekali gus menghentikan keganasan.

Hong Kong tidak ubah seperti ‘telur di hujung tanduk’ selepas beberapa pertempuran antara aktivis dan polis ketika gelombang tunjuk perasaan itu meluas ke seluruh wilayah.

Polis pada lewat Jumaat lalu merampas beberapa kelongsong bahan letupan dan senjata daripada bangunan perindustrian di daerah baharu Tsuen Wan.

Pada masa sama, tiga orang ditahan berhubung rampasan itu, yang dianggap polis sebagai yang terbesar pernah berlaku di Hong Kong. - Reuters

Berita Harian X