Khamis, 18 Julai 2019 | 4:41pm
Gambar kelmarin menunjukkan penduduk Bangladesh mengharungi banjir di daerah Kurigam, di utara negara itu untuk mencari kawasan lebih tinggi. -Foto AFP
Gambar kelmarin menunjukkan penduduk Bangladesh mengharungi banjir di daerah Kurigam, di utara negara itu untuk mencari kawasan lebih tinggi. -Foto AFP

Lebih 250 maut akibat banjir di Asia Selatan

NEW DELHI: Banjir akibat hujan lebat yang melanda seluruh Asia Selatan menyebabkan angka korban kini melepasi 250 orang semalam, dengan pihak berkuasa berdepan cuaca terburuk di sesetengah rantau.

Hujan lebat tahunan itu penting untuk menambah bekalan air di rantau miskin itu namun musim monsun dari Jun hingga September sering bertukar bencana.

Di seluruh India, Nepal, Bangladesh dan Pakistan, jutaan penduduk terjejas dan ratusan ribu hilang tempat tinggal, dengan rumah dan bot turut dihanyutkan air.

Di Bangladesh, kira-kira satu pertiga daripada negara itu ditenggelami air dan 59 orang maut, kata pihak berkuasa.

“Hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan tanah runtuh merosakkan rumah kami dan ramai orang menderita.

“Kanak-kanak lemas akibat dihanyutkan air ketika merentasi terusan, malah anak saudara saya hanyut dalam terusan itu,” kata Sanjida Begum di Cox’s Bazar, Bangladesh, menempatkan hampir sejuta pelarian Islam Rohingya yang lari akibat tindakan keras tentera di Myanmar.

Di India, angka maut akibat banjir itu meningkat kepada 100 orang dan di kawasan terpencil, penduduk terputus hubungan apabila banjir menenggelamkan jalan raya.

“Sudah 15 hari sejak kawasan ini dilanda banjir. Kerosakan amat teruk. Ternakan turut terjejas. Segala-galanya musnah,” kata seorang penduduk di Assam, India, di mana angka kematian meningkat 22 orang.

Rakaman video dikongsi di media sosial menunjukkan penyelamat menarik anak badak sumbu dari kawasan banjir di Taman Negara Kaziranga yang berstatus Warisan Dunia, menempatkan dua pertiga badak sumbu bertanduk satu dunia.

Di Bihar yang bersempadan Nepal, seperti mana Assam adalah rantau paling teruk terjejas di India. Kira-kira 33 kematian dilaporkan dan 2.5 juta penduduk terjejas di negeri itu.

Di Mumbai angka mangsa yang ditimpa bangunan runtuh susulan hujan lebat meningkat kepada 14 orang.

Di daerah terjejas teruk di utara dan tengah Bangladesh, Pusat Amaran serta Ramalan Banjir negeri berkata, paras air sungai utama akan naik dalam tempoh 24 jam.

Di Nepal, sekurang-kurangnya 83 orang maut dan 17,000 keluarga hilang tempat tinggal namun penduduk kini mula kembali ke rumah masing-masing ketika paras air mulai surut, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri Ram Krishna Subedi.

Di Kashmir ditadbir Pakistan, banjir kilat mengorbankan 23 orang. -AFP

Berita Harian X