Rabu, 17 Julai 2019 | 3:01pm
- Foto AFP

Taiwan minta kerjasama HK, China tangani jerat cinta atas talian

TAIPEI: Taiwan menggesa China dan Hong Kong bekerjasama menyiasat kes jerat cinta internet yang menyebabkan mangsa kerugian lebih AS$30 juta (RM123 juta).

Memerangi jenis baharu penipuan merentasi sempadan itu memerlukan kerjasama ketiga-tiga pentadbiran, dan bertentangan dengan ketegangan memuncak baru-baru ini berhubung keinginan Beijing yang mahukan hubungan politik lebih rapat.

Menurut Biro Siasatan Jenayah, suspek yang menjalankan operasi dari China dan Hong Kong menggunakan media sosial untuk memulakan hubungan cinta dengan mangsa Taiwan, dan memperdaya mangsa melabur dalam syarikat kewangan palsu.

Lebih 500 penduduk tempatan ditipu sejak Januari tahun lalu, dengan kerugian berjumlah lebih AS$30 juta, termasuk seorang mangsa yang kehilangan AS$2 juta (RM8.2 juta), kata biro itu.

Sasaran digalakkan menyalurkan wang ke akaun bank di Hong Kong, yang dibuka oleh penduduk wilayah itu atau warga China di tanah besar, dengan pemahaman ia akan dilaburkan dalam saham, mata wang asing, emas atau niaga hadapan.

Didorong dengan pulangan pelaburan lumayan yang dipamerkan di laman web palsu, mangsa akan menyerahkan wang sehingga mereka diminta menebusnya tanpa sebarang hasil.

“Suspek menggunakan media sosial untuk menyenaraikan penduduk Taiwan sebagai ‘rakan’ dan akhirnya menggoda mangsa dengan perangkap cinta siber untuk mendapatkan kepercayaan mereka dan membabitkan emosi,” kata biro dalam kenyataan.

Pesuruhjaya biro, Huang Ming-Chao, berkata polis Taiwan meminta kerjasama polis Hong Kong dan China untuk menjalankan penyiasatan bersama, walaupun mereka belum memberi jawapan.

Tanpa kerjasama seumpama itu, kes serupa akan terus berlaku, katanya. - AFP

Berita Harian X