Selasa, 16 Julai 2019 | 5:44pm
KEADAAN banjir di perkampungan Jhargaon di daerah Marigaon. - Foto AFP
KEADAAN banjir di perkampungan Jhargaon di daerah Marigaon. - Foto AFP

Banjir Asia Selatan semakin buruk

NEW DELHI : Ratusan rumah hanyut manakala tanah runtuh melanda seluruh Asia Selatan sekali gus menjejaskan jutaan penduduk dan meragut 180 nyawa, kata pihak berkuasa hari ini.

Musim berkenaan amat penting untuk sistem pengairan dan bekalan air di kawasan miskin itu yang juga kediaman kepada 1/5 penduduk dunia serta mendatangkan kelegaan selepas musim panas.

Namun musim tengkujuh yang bermula dari Jun hingga September boleh menjadi satu musibah dan mendatangkan kekecohan di India, Nepal, Bangladesh serta Kashmir di bahagian Pakistan.

Sekurang-kurangnya lima kanak-kanak mati lemas di Bangladesh semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kepada 34 termasuk 18 yang dipanah petir manakala tujuh lagi maut apabila bot dinaiki karam akibat arus deras di Teluk Bengal.

Ratusan ribu penduduk turut terjejas akibat banjir di bahagian utara dengan satu daripada sungai utama Himalaya, Brahmaputra berada hanya satu meter sebelum paras bahaya, kata sumber rasmi.

Di Nepal, sekurang-kurangnya 67 penduduk terbunuh walaupun banjir semakin surut dan rakaman foto turut memaparkan bagaimana bot getah digunakan untuk membantu memindahkan mangsa.

Pakar kesihatan memberi amaran kemungkinan penularan wabak penyakit berkaitan air dan merayu bantuan antarabangsa.

Sementara itu hampir 50 penduduk terbunuh di India dengan dua negeri, Assam dan Bihar yang bersempadan dengan Nepal paling teruk terjejas.

Pihak berkuasa di Assam turut mengeluarkan arahan kecemasan berikutan situasi semakin memburuk, menyebabkan kebanyakan perkampungan terputus hubungan apabila dinaiki air. - AFP

Berita Harian X