Isnin, 15 Julai 2019 | 4:48pm
SEBUAH rumah runtuh di utara India susulan hujan lebat.
SEBUAH rumah runtuh di utara India susulan hujan lebat.

8 maut bangunan runtuh di India

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya lapan terbunuh apabila sebuah rumah runtuh di utara India susulan hujan lebat yang turut meragut lebih 85 nyawa di seluruh Asia Selatan, kata pegawai hari ini.

Banjir dan tanah runtuh disebabkan hujan mengorbankan sekurang-kurangnya 67 orang di seluruh Nepal manakala 30 lagi hilang, kata polis.

Di kem pelarian Rohingya penuh sesak di tenggara Bangladesh, 10 terbunuh dan ribuan lagi rumah setinggan musnah sejak April lalu.

Dalam tragedi berkaitan musim tengkujuh terbaru, bangunan empat tingkat di pinggir bukit di negeri Himachal Pradesh runtuh, mengorbankan lapan orang dan memerangkap sekurang-kurangnya tujuh lagi.

Struktur itu, terletak berhampiran lokasi pelancongan popular, Shimla, runtuh semalam berikutan hujan lebat selama beberapa hari.

Pekerja penyelamat mencari mangsa terselamat di celah runtuhan, manakala mesin berat mengeluarkan bongkah keluli dan wayar dari serpihan berlumpur.

Pegawai tempatan, K C Chaman, berkata lapan maut dalam runtuhan itu, menambah pasukan penyelamat mencari sekurang-kurangnya tujuh lagi yang terperangkap.

Seorang anggota tentera, yang ditarik keluar hidup-hidup daripada sisa runtuhan, berkata mereka berkumpul untuk mengadakan parti di restoran dalam bangunan itu, tetapi tiba-tiba struktur berkenaan bergoyang dan runtuh.

Kejadian seumpama itu adalah biasa di seluruh rantau berkenaan ketika musim tengkujuh kerana struktur lemah berikutan hujan berterusan. — AFP

Berita Harian X