Isnin, 15 Julai 2019 | 1:39pm
Seorang pelawat mengambil gambar baju angkasawan dipamerkan di Nehru Planetarium di New Delhi sempena rancangan pelancaran kapal angkasa pertama India, Chandrayaan-2 ke bulan. -Foto EPA

India batal misi ke bulan akibat masalah teknikal

SRIHARIKOTA: India menggantung pelancaran sebuah kapal angkasa ke bulan kurang sejam sebelum berlepas kerana masalah teknikal, menangguhkan hasrat menjadi negara keempat mendaratkan kapal angkasa lepas ke bulan.

Kapal angkasa Chandrayaan-2 atau Moon Chariot 2, adalah sebahagian misi angkasa lepas bercita-cita tinggi India yang akan membariskan negara Asia Selatan itu setanding dengan Russia, Amerika Syarikat (AS) dan China.

Kapal angkasa lepas itu dijangka dilancarkan di atas Kenderaan Pelancar Geosegerak (GSLV) Mk III, roket paling berkuasa India, dari Pusat Angkasa Lepas Satish Dhawan, namun kiraan dihentikan 56 minit dan 24 saat sebelum ia berlepas jam 2.51 pagi waktu tempatan semalam.

“Masalah teknikal dikesan dalam sistem kenderaan pelancar sejam sebelum dilancarkan. Sebagai langkah berhati-hati, pelancaran Chandrayaan-2 dibatalkan untuk hari ini. Tarikh pelancaran semula akan diumumkan kemudian,” kata Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO).

Agensi itu bagaimanapun tidak berkongsi sebarang butiran mengenai masalah teknikal yang dihadapi. Kapal angkasa lepas itu pada awalnya dijangka mendarat di bulan pada 6 September. -AFP

Berita Harian X