Selasa, 9 Julai 2019 | 5:12pm
Mesir meminta kerjasama INTERPOL untuk mengesan artifak Tutankhamun yang dijual dalam satu lelongan di London, awal bulan ini. Foto Agensi
Mesir meminta kerjasama INTERPOL untuk mengesan artifak Tutankhamun yang dijual dalam satu lelongan di London, awal bulan ini. Foto Agensi

Mesir minta INTERPOL bantu kesan artifak Tutankhamun

KAHERAH: Mesir meminta kerjasama agensi Polis Antarabangsa (INTERPOL) untuk mengesan artifak Tutankhamun, berusia 3,000 tahun yang dijual dalam satu lelongan di London, pada harga AS$6 juta (RM24.8 juta).

Rumah lelongan, Christie’s berjaya menjual relik berukuran 28.5 sentimeter itu, kepada seorang pembeli yang tidak dikenali pada awal bulan ini.

Namun, dalam tempoh kurang seminggu selepas ia dijual, Jawatankuasa Kebangsaan Repatriasi Antikuiti Mesir (NCAR), berkata pendakwa raya kebangsaan meminta INTERPOL mengeluarkan pekeliling bagi mengesan artifak itu, atas dakwaan kehilangan dokumen.

“Jawatankuasa ini ingin menyatakan rasa kecewa dengan sikap tidak profesional yang ditunjukkan, dalam insiden penjualan antikuiti milik Mesir, tanpa menyediakan dokumen pemilikan dan bukti bagi mengesahkan ia dieksport secara sah dari Mesir,” kata NCAR dalam satu kenyataan.

Dalam satu mesyuarat tergempar yang dipengerusikan oleh Menteri Antikuiti, Khaled El-Enany dan turut dihadiri bekas menteri, Zahi Hawass serta pegawai dari beberapa kementerian, jawatankuasa itu turut meminta Britain menghalang eksport artifak berkenaan, sehinggalah pihak berkuasa Mesir menunjukkan dokumen sah.

Selain itu, jawatankuasa berkenaan turut menegaskan bahawa isu itu boleh menjejaskan hubungan kebudayaan, iaitu merujuk kepada kerjasama berterusan antara kedua-dua negara dalam bidang arkeologi.

Katanya, ketika ini, terdapat 18 kumpulan misi arkeologi dari Britain yang berada di Mesir bagi menjalankan penyelidikan dalam bidang terbabit.

NCAR berkata, pihaknya juga sudah melantik sebuah firma guaman Britain untuk memfailkan tuntutan sivil, tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut. - AFP

Berita Harian X