Selasa, 9 Julai 2019 | 7:09am
Israel menembak jatuh dron dari Gaza ketika ketegangan peringkat rendah di sepanjang sempadan keduanya dan berusaha mengekalkan perjanjian damai tidak rasmi mereka. -Foto Agensi
Israel menembak jatuh dron dari Gaza ketika ketegangan peringkat rendah di sepanjang sempadan keduanya dan berusaha mengekalkan perjanjian damai tidak rasmi mereka. -Foto Agensi

Israel dakwa tembak jatuh dron Gaza

BAITULMAQDIS: Tentera Israel berkata, ia menembak jatuh sebuah dron yang masuk ke wilayahnya dari Semenanjung Gaza.

Katanya, dron terbabit diambil untuk menjalani pemeriksaan lebih teliti semalam.

Tiada ulasan dari Gaza. Pemimpin Hamas diketahui membangunkan satu program dron dengan bantuan Iran, menurut laporan The Associated Press.

Dron itu biasanya digunakan untuk pemantauan di sepanjang sempadan Israel-Gaza dan tidak jelas jika ia berpotensi menjalankan serangan.

Insiden itu berlaku di tengah ketegangan peringkat rendah di sepanjang sempadan ketika Israel dan Gaza cuba mengekalkan satu perjanjian damai panjang tidak rasmi antara mereka.

Bantahan terbaharu termasuk pelancaran belon api oleh belia Palestin ke kawasan pertanian Israel.

Dalam perkembangan lain, sebuah mahkamah Israel memutuskan, Pihak Berkuasa Palestin (PA) dipertanggungjawabkan atas 17 serangan anti-Israel dilakukan penduduk Palestin antara 1996 hingga 2002.

Keputusan itu sebagai maklum balas terhadap aduan difailkan bagi pihak mangsa yang menuntut pampasan 1 bilion shekel (RM1.16 bilion), menurut kenyataan Kementerian Kehakiman. Jumlah itu akan diputuskan pada tarikh kemudian.

PA sebaliknya enggan mengambil bahagian dalam kes di mahkamah daerah di sini dan tidak jelas bagaimana penghakiman dikuatkuasakan.

Pemimpin Palestin, Yasser Arafat dan Marwan Barghouti sebelum ini menjalani lima hukuman seumur hidup di penjara Israel kerana didakwa menganjurkan siri pembunuhan penduduk Israel, juga dianggap bersalah oleh mahkamah.

“Ia adalah kejayaan bersejarah yang mendapati PA bertanggungjawab atas serangan ketika intifada kedua,” kata peguam Nitzana Darshan-Leitner daripada badan bukan kerajaan Israel, Shourat Hadin, yang mewakili mangsa dan perjuangan perundangan menentang apa yang digelar ‘musuh Israel.’

Intifada kedua Palestin berlangsung antara 2000 hingga 2005. -Agensi

Berita Harian X