Isnin, 8 Julai 2019 | 8:29pm

1 maut, 45 cedera gempa bumi 5.7 gegar barat daya Iran

TEHRAN: Gempa bumi berukuran 5.7 yang berlaku di barat daya Iran berhampiran sempadan dengan Iraq hari ini menyebabkan satu kematian akibat serangan jantung dan puluhan lagi cedera, kata pertubuhan bantuan dan penyelamat negara itu.

Gempa bumi itu, dengan pusat gegaran terletak di kawasan Masjed Soleiman di wilayah Khuzestan, berlaku pada jam 11.30 pagi waktu tempatan, pada kedalaman 17 kilometer, menurut laporan gempa bumi kebangsaan.

Wilayah itu digegarkan dengan tujuh gegaran susulan, paling kuat berukuran 4.7 magnitud, katanya.

Sekurang-kurangnya 45 cedera, kata ketua pertubuhan bantuan dan penyelamat Iran, Morteza Salimi.

“Seorang penduduk di Masjed Soleiman juga meninggal dunia akibat serangan jantung selepas gempa bumi,” kata Salimi.

Di bandar raya dan kampung berhampiran yang terjejas akibat gempa bum itu, cuma ada retakan kecil di bangunan, dan jalan ke beberapa kampung terputus.

Pada November 2017, gempa bumi 7.3 magnitud di wilayah Kermanshah mengorbankan 620 orang.

Gempa bumi paling dahsyat berukuran 7.4 pada 1990 di utara Iran meragut 40,000 nyawa, mencederakan 300,000 lagi dan menyebabkan setengah juta penduduk kehilangan tempat tinggal — AFP

Berita Harian X