Ahad, 7 Julai 2019 | 10:11pm
Seorang lelaki memegang sepanduk bertulis ‘Kebebbasan Hong Kong’ ketika penunjuk perasaan anti-ekstradisi berhimpun di sebatang jalan berhampiran Stesen Kereta Api West Kowloon hari ini, menyasar pelawat yang tiba dari Shenzhen. -Foto EPA
Seorang lelaki memegang sepanduk bertulis ‘Kebebbasan Hong Kong’ ketika penunjuk perasaan anti-ekstradisi berhimpun di sebatang jalan berhampiran Stesen Kereta Api West Kowloon hari ini, menyasar pelawat yang tiba dari Shenzhen. -Foto EPA

Bantahan anti-ekstradisi HK berakhir dengan aman

HONG KONG: Satu perarakan bantahan anti-ekstradisi berakhir dengan aman di Stesen West Kowloon hari ini, selepas ribuan penunjuk perasaan berarak dari Salisbury Garden melalui kawasan sibuk Tsim Sha Tsui, menyampaikan mesej secara langsung kepada pelawat tanah besar China.

Bantahan diadakan secara aman dan tenang ketika perarakan bermula. Tidak seperti bantahan sebelumnya, apabila perasaan tidak puas hati disasarkan terhadap kerajaan Hong Kong, protes hari ini menyasar pelawat tanah besar China.

Penganjur bantahan berkata, 230,000 mengambil bahagian, sementara polis berkata ada 56,000 orang hadir pada kemuncak bantahan.

Perarakan bermula di Salisbury Garden kira-kira jam 3.40 petang waktu tempatan dengan penunjuk perasaan berjalan melalui Tsim Sha Tsui, daerah pelancong sibuk Hong Kong ke arah Stesen West Kowloon, di mana kereta api laju dari Shenzhen tiba.

Polis menutup Stesen West Kowloon dengan penghadang diisi air kira-kira dua meter tinggi di sekitarnya.

Di luar stesen, penganjur mengibarkan kain rentang mengandungi tuntutan mereka ketika lebih ramai penunjuk perasaan tiba.

Tuntutan mereka termasuk menghapuskan rang undang-undang ekstradisi, label penunjuk perasaan 12 Jun lalu sebagai ‘perusuh’ dihapuskan, menyiasat dakwaan kekasaran polis dan membebaskan penunjuk perasaan yang ditahan.

Aktivis pro-demokrasi, Ventus Lau yang memohon permit untuk perarakan protes hari ini memberitahu The Straits Times, beliau tidak menjangka kerajaan menjawab tuntutan terbabit.

“Apa yang kita mahu lakukan ialah menunjukkan kepada pelawat tanah besar bahawa protes di Hong Kong lebih aman dan bermaruah,” katanya. -Agensi

Berita Harian X