Ahad, 23 Jun 2019 | 6:43pm
SETIAUSAHA Negara AS, Mike Pompeo. - Foto AFP
SETIAUSAHA Negara AS, Mike Pompeo. - Foto AFP

India sangkal dakwaan Washington

NEW DELHI: India menolak laporan Amerika Syarikat (AS) yang mendakwa sikap tidak bertoleransi terhadap agama semakin menular di bawah kerajaan baharu negara itu, sekali gus menegangkan lagi keadaan menjelang kunjungan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo.

Laporan tahunan mengenai kebebasan beragama antarabangsa yang dikeluarkan Pompeo Jumaat lalu menyebut, kumpulan Hindu menggunakan ‘keganasan, ancaman dan gangguan’ terhadap umat Islam dan kasta rendah pada 2017 untuk memperkenalkan identiti kebangsaan berasaskan agama secara paksa.

Namun, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi menegaskan bahawa, negara asing tiada hak untuk mengkritik laporan mengenai negara itu.

Pompeo dijangka tiba di New Delhi Selasa ini, bagi mengukuhkan hubungan yang tercalar oleh spekulasi berhubung tarif perdagangan, peraturan perlindungan data, visa AS untuk warga India dan pembelian senjata dari Russia.

Laporan kebebasan beragama AS itu turut menyebut, kumpulan yang mendakwa melindungi lembu, iaitu haiwan yang dianggap suci oleh penganut agama Hindu, menyerang umat Islam dan kasta lebih rendah.

Penganut Kristian juga menjadi sasaran sejak Modi berkuasa pada 2014.

“Walaupun statistik kerajaan India menunjukkan keganasan dalam kalangan komuniti meningkat mendadak sejak dua tahun lalu, pentadbiran Modi tidak menangani masalah itu,” kata laporan berkenaan.

Berikutan itu, Kementerian Luar India menolak laporan itu, mengatakan kerajaan atau entiti asing tidak sepatutnya menyentuh soal hak negara yang dilindungi Perlembagaan.

“Perlembagaan India menjamin hak asasi kepada semua rakyatnya, termasuk komuniti minoriti,” kata jurucakapnya, Raveesh Kumar dalam satu kenyataan.

AS berusaha mengukuhkan hubungan dengan India sebagai pengimbang kepada kuasa dan pengaruh China.

Bagaimanapun, minggu lalu India mengenakan tarif import yang lebih tinggi ke atas 28 barangan AS sebagai membalas tindakan menarik hak keistimewaan perdagangan New Delhi baru-baru ini. - AFP

Berita Harian X