Khamis, 13 Jun 2019 | 7:21pm
Gambar diperoleh AFP menerusi stesen televisyen Iran, TV IRIB menunjukkan asap berkepul keluar dari sebuah kapal tangki yang diserang di Teluk Oman. Seramai 44 kru diselamatkan di luar pantai Iran hari ini. -Foto AFP
Gambar diperoleh AFP menerusi stesen televisyen Iran, TV IRIB menunjukkan asap berkepul keluar dari sebuah kapal tangki yang diserang di Teluk Oman. Seramai 44 kru diselamatkan di luar pantai Iran hari ini. -Foto AFP

44 kru kapal tangki diselamatkan selepas didakwa diserang

DUBAI: Kru dua kapal tangki minyak diselamatkan di luar pantai Iran hari ini selepas mereka dilaporkan diserang sebelum terbakar di Teluk Oman, menyebabkan harga minyak dunia naik mendadak.

Insiden misteri itu, kali kedua membabitkan kapal tangki di laluan strategik dalam tempoh hanya beberapa minggu, berlaku di tengah ketegangan memuncak antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) yang menuding jari ke arah serangan kapal tangki oleh Tehran pada Mei lalu.

Iran berkata, tentera lautnya menyelamatkan 44 kru selepas dua kapal terbakar dalam ‘kemalangan’ di luar pantainya.

Namun kapal perang US Fifth Fleet berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada kedua-dua kapal tangki terbabit yang melaporkan ‘mereka diserang.’

Pihak Berkuasa Maritim Norway berkata, tiga letupan dilaporkan dalam kapal tangki milik Norway, Front Altair selepas ia ‘diserang’ bersama kapal pengangkut kargo milik Singapura, Kokuka Courageous.

Media tempatan Iran berkata, insiden pertama berlaku dalam Front Altair jam 8.50 pagi waktu tempatan sejauh 25 batu nautika di luar pantai pelabuhan Bandar-e-Jask di selatan negara itu.

Agensi berita rasmi Iran, IRNA melaporkan, kapal tangki dengan bendera Kepulauan Marshall itu membawa kargo etanol dari Qatar ke Taiwan.

“Ketika kapal terbakar, 23 kru melompat ke dalam air dan diselamatkan kapal berhampiran serta diserahkan kepada unit menyelamat Iran.

“Sejam selepas insiden pertama, kapal kedua terbakar jam 9.50 pagi sejauh 28 batu nautika di luar perairan pelabuhan sama,” katanya.

Kokuka Courageous yang mengibarkan bendera Panama menuju ke Singapura dari Arab Saudi bersama kargo metanol dan 21 kru melompat serta diselamatkan, menurut IRNA. -AFP

Berita Harian X