Khamis, 6 Jun 2019 | 10:52am
Yumi Ishikawa melompat di hadapan bangunan kawasan perniagaan di Tokyo, Jepun. - Foto REUTERS
Yumi Ishikawa melompat di hadapan bangunan kawasan perniagaan di Tokyo, Jepun. - Foto REUTERS

Wanita Jepun sokong petisyen enggan pakai kasut tumit tinggi

TOKYO: Wanita Jepun menandatangani petisyen mahukan perubahan dalam kod berpakaian pejabat yang memerlukan mereka memakai kasut tumit tinggi ke tempat kerja.

Kempen itu, yang setakat ini sudah mengumpul 19,000 tandatangan, dimulakan artis dan penulis Yumi Ishikawa, yang pada awalnya berkongsi di media sosial mengenai kekecewaannya dengan kod berpakaian ketinggalan zaman yang tegas.

“Saya harap dalam menghapuskan adat yang memerlukan wanita boleh memakai kasut tumit tinggi ke tempat kerja,” katanya di Twitter.

Bagi meningkatkan kesedaran terhadap kempen itu, Ishikawa menggunakan tanda pagar #KuToo, seakan-akan perkataan ‘kutsu’ yang bermakna kasut dan ‘kutsuu’ bermaksud sakit.

Dalam petisyen, Ishikawa berbincang mengenai paksaan memakai kasut tumit tinggi ketika bekerja di syarikat pengebumian, yang menyebabkan sakit belakang dan melepuh.

Beliau juga mempersoalkan mengapa lelaki di Jepun tidak dikehendaki mengikut piawaian sama di tempat kerja.

Walaupun mendapat hampir 20,000 tandatangan, pegawai di Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan memberitahu mereka tiada rancangan menukar peraturan atau melaksanakan undang-undang yang mengehadkan syarikat daripada mengenakan kod berpakaian.

Menurut kajian yang disiarkan dalam Jurnal Penyelidikan Ortopedik, memakai kasut tumit tinggi boleh meningkatkan risiko osteoarthritis manakala artikel disiarkan Persatuan Osteopatik Amerika menyatakan pemakaian kasut tumit tinggi pada jangka masa panjang boleh menyebabkan otot dan sendi lari, membawa kepada sakit otot. — Agensi

Berita Harian X