Rabu, 15 Mei 2019 | 9:22am
Serangan bom di sebuah gereja di Negombo, Sri Lanka, 21 April lalu. - Foto Reuters
Serangan bom di sebuah gereja di Negombo, Sri Lanka, 21 April lalu. - Foto Reuters

Sri Lanka haram 3 pertubuhan Islam

COLOMBO: Kerajaan Sri Lanka mengharamkan tiga kumpulan militan Islam, termasuk National Thowheeth Jama’ath (NTJ) yang melancarkan serangan ganas paling buruk negara itu ketika sambutan Easter yang mengorbankan lebih 250 orang.

Presiden Maithripala Sirisena mengeluarkan gazet luar biasa mengharamkan beberapa pertubuhan kelmarin.

Beliau juga mengharamkan penggunaan dron di negara itu sehingga notis selanjutnya.

Menurut gazet itu, NTJ, Jamaathe Millaathe Ibrahim (JMI) dan Willayath As Seylani (WAS) adalah pertubuhan Islam yang diharamkan.

Pada 21 April, sembilan pengebom nekad termasuk seorang wanita, melancarkan siri letupan di tiga gereja dan hotel mewah, membunuh 258, termasuk 44 warga asing dan mencederakan lebih 500 lagi.

Militan Daesh mendakwa melancarkan serangan, tetapi kerajaan menuduh ia dilakukan NTJ.

Lebih 1,000 ditahan sejak serangan itu. Polis Sri Lanka berkata, mereka sama ada membunuh atau menahan individu bertanggungjawab di atas pengeboman nekad itu.

Sri Lanka mempunyai 21 juta penduduk pelbagai etnik dan agama, dikuasai majoriti Buddha.

Penduduk Islam merangkumi 10 peratus daripada penduduk dan minoriti kedua terbesar selepas Hindu. Kira-kira tujuh peratus lagi adalah Kristian.

Kelmarin, kerajaan menguat kuasa perintah berkurung di seluruh negara dan menyekat media sosial untuk menghentikan orang ramai menyemarakkan keganasan ketika rusuhan agama merebak ke kawasan baru di negara itu dalam ketegangan paling buruk sejak pengeboman.

Polis juga melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah kumpulan samseng yang menyerang masjid dan kedai dimiliki penduduk Islam di beberapa bahagian di negara itu. - Agensi

Berita Harian X