Ahad, 12 Mei 2019 | 10:49am

Sri Lanka arah masjid banteras ekstremis

COLOMBO: Kerajaan Sri Lanka, kelmarin mengarahkan masjid membasmi golongan ekstremis dan menyerahkan salinan khutbah, tindakan terbaharu susulan pengeboman nekad pada sambutan Easter yang meragut 258 nyawa.

Negara itu dalam keadaan berwaspada sejak serangan 21 April lalu oleh militan yang mengebom tiga gereja dan tiga hotel di Colombo yang turut mencederakan 500 lagi.

Kementerian Keagamaan Islam dan Kebudayaan berkata, masjid tidak boleh digunakan untuk menjadikan jemaah bersikap radikal.

“Susulan keadaan di negara ini, kementerian mengarahkan semua pemegang amanah masjid tidak terbabit atau memberi permit kepada perhimpunan untuk menggalakkan atau menyebarkan kebencian atau anasir melampau dalam apa bentuk,” kata kementerian dalam kenyataan.

Ia berkata, semua masjid perlu menyerahkan salinan khutbah yang diberikan kepada mereka.

Puak radikal Sri Lanka yang mengaku taat setia kepada Daesh dipersalahkan di atas pengeboman itu.

Sejak serangan berkenaan, kerajaan melancarkan serbuan di seluruh negara dan membunuh beberapa suspek radikal.

Sekurang-kurangnya, 56 suspek dalam tahanan, menurut polis, manakala pihak berkuasa turut mengusir 200 ulama asing yang menetap melebihi tempoh visa. — AFP

Berita Harian X