Sabtu, 11 Mei 2019 | 2:50pm
Gary Fan cedera ketika berlaku pergaduhan antara ahli parlimen pro-demokrasi dan majoriti pro-Beijing di Hong Kong. - Foto Reuters

Ahli parlimen Hong Kong bergaduh, seorang cedera

HONG KONG: Seorang ahli parlimen cedera ketika berlaku pergaduhan antara ahli parlimen pro-demokrasi dan yang setia kepada Beijing ketika pembentangan rang undang-undang ekstradisi yang bakal melanjutkan kuasa China terhadap negara itu.

Bekas jajahan British itu cuba menggubal peraturan yang membenarkan orang yang dituduh melakukan jenayah, termasuk warga asing, agar diekstradisi dari kawasan bandar ke negara yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi, termasuk China.

Bagaimanapun, pembangkang bimbang undang-udang itu bakal menjejaskan hak dan undang-undang perlindungan di negara hab kewangan bebas itu, kebebasan yang dijamin ketika ia diserahkan kepada pentadbiran China pada 1997.

Pergaduhan tercetus apabila ahli parlimen pro-demokrasi dan majoriti pro-Beijing cuba untuk melakukan pendengaran berasingan berhubung rang udang-undang itu.

Ketika pergelutan berlaku, ada antara ahli parlimen menaiki meja, saling memaki dan menghempap antara satu sama lain, ketika pengawal keselamatan cuba meredakan keadaan.

Seorang ahli parlimen, pro-demokrasi, Gary Fan terjatuh ke lantai dan terpaksa dikejarkan ke hospital. Beberapa ahli parlimen pro-Beijing turut jatuh, seorang daripada mereka mengalami kecederaan di tangan.

“Ia adalah hari yang sangat menyedihkan bagi Hong Kong. Kita pernah mengetawakan ahli Parlimen Taiwan, tetapi apa yang berlaku di Hong Kong lebih teruk,” kata ahli parlimen pro-penubuhan, Elizabeth Quat. - Reuters

Berita Harian X