Rabu, 8 Mei 2019 | 3:48pm
PRESIDEN Iran, Hassan Rouhani. - Foto AFP
PRESIDEN Iran, Hassan Rouhani. - Foto AFP

Iran tuntut kuasa dunia tunai janji

LONDON: Iran akan menyambung proses penguraian uranium peringkat tinggi jika kuasa dunia tidak menunaikan janji menurut perjanjian nuklear 2015, kata Presiden Hassan Rouhani hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada pengunduran Amerika Syarikat daripada perjanjian yang ditandatangani setahun lalu.

Dalam ucapan yang disiarkan televisyen tempatan, Rouhani berkata negara yang kekal dalam perjanjian itu iaitu United Kingdom, Perancis, Jerman, China dan Russia, mempunyai masa 60 hari untuk melaksanakan janji mereka melindungi sektor minyak dan perbankan Iran daripada sekatan AS.

Iran memberitahu duta negara berkenaan bahawa ia akan mengurangkan beberapa komitmennya menurut perjanjian itu, lapor stesen penyiar IRIB hari ini.

Rouhani memberi amaran tindak balas tegas jika kes nuklear Iran dirujuk sekali lagi kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tetapi berkata Tehran sedia berunding berhubung program nuklearnya itu. — Reuters

Berita Harian X