SEOUL: Lima orang terbunuh manakala lebih 12 lagi cedera susulan tindakan seorang lelaki Korea Selatan membakar pangsapurinya dan menikam jirannya ketika mereka cuba menyelamatkan diri, kata polis hari ini.
Polis berkata, lelaki berusia 42 tahun itu memulakan kebakaran unitnya pada awal pagi hari ini di bandar selatan Jinju dan menunggu di tingkat dua bangunan untuk menyerang sesiapa yang lari menyelamatkan diri ke tingkat bawah.
Mangsa paling muda daripada lima yang ditikam sehingga mati adalah kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.
Seorang penduduk tidak dikenali memberitahu agensi berita Yonhap, dia cuba meninggalkan bangunan itu selepas mendengar penggera kebakaran namun kembali ke unitnya selepas melihat ‘banyak darah’ di kaki lima.
“Saya mendengar dia (penyerang) memegang pisau pada kedua belah tangannya,” kata lelaki tidak dikenali itu.
Lelaki yang memulakan kebakaran itu ditahan di tempat kejadian, memberitahu polis, melakukan jenayah itu untuk mempertahankan diri daripada ‘pasukan jahat.’ -AFP