Rabu, 10 April 2019 | 6:27am
Netanyahu dan isteri, Sara mengundi pada pilihan raya di Israel. - Foto AFP
Netanyahu dan isteri, Sara mengundi pada pilihan raya di Israel. - Foto AFP

Masih belum terlambat rayu Netanyahu kepada pengundi

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Benjamin Netanyahu meminta penyokongnya supaya keluar mengundi dalam pilihan raya parlimen Israel, hari ini, dengan membayangkan kemungkinan seteru utamanya akan menang, jika mereka tidak berbuat demikian.

Beliau kini dilihat sedang berjuang untuk kelangsungan politik, ketika berdepan pendakwaan untuk tiga kes rasuah yang dinafikan.

Tinjauan pendapat terakhir, Jumaat lalu menunjukkan Netanyahu yang mengetuai Parti Likud berada di belakang pesaingnya, bekas ketua tentera Benny Gantz daripada pakatan Biru dan Putih, namun mempunyai jalan lebih mudah untuk membentuk kerajaan.

Kira-kira dua setengah jam, sebelum pusat mengundi dijangka ditutup, Netanyahu memaklumkan pihaknya sudah mendapat maklumat bahawa pakatan Gantz mempunyai kelebihan empat kerusi dalam parlimen 120 kerusi.

“Ramai penyokong Likud masih belum mengundi. Waktu sudah lewat, namun masih belum terlambat. Saya meminta semua bergerak, bawa keluarga dan rakan anda ke peti undi,” katanya.

Jika menang, Netanyahu, 69, akan berjaya memerintah untuk penggal kelima dan menjadi perdana menteri Israel paling lama berkhidmat. - Reuters

Berita Harian X