Ahad, 7 April 2019 | 9:01am
Gambar fail, tentera Amerika Syarikat mengawal di Iraq. - Foto wikimedia.org
Gambar fail, tentera Amerika Syarikat mengawal di Iraq. - Foto wikimedia.org

Iran desak Iraq tuntut pengunduran tentera AS secepat mungkin

DUBAI: Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei semalam mendesak Iraq menuntut pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) secepat mungkin, katanya ketika mengunjungi Perdana Menteri Iraq, Adel Abdul Mahdi.

Ia sekali gus menunjukkan pengaruh kuat Tehran di Baghdad walaupun terus ditekan AS.

Iran dan Amerika Syarikat sekian lama bersaing untuk mendapatkan kepentingan di Iraq sejak pencerobohan dipimpin AS pada 2003 menyaksikan pemimpin diktator Saddam Hussein, musuh kedua-dua negara digulingkan.

Ramai pemimpin Iraq, dari majoriti Syiah, menjalin hubungan akrab dengan Iran, kuasa utama Syiah di Asia Barat.

Sepanjang tempoh empat tahun lalu, Iran dan Amerika Syarikat membantu Iraq menewaskan kumpulan militan Daesh yang menguasai satu pertiga daripada Iraq pada 2014.

“Anda perlu memastikan AS mengundurkan tenteranya dari Iraq secepat mungkin kerana mengusir mereka akan menjadi lebih sukar selepas lama berada di sesebuah negara,” kata Khamenei.

Permusuhan antara Iran dan Amerika Syarikat bertambah buruk berikutan keputusan Presiden Donald Trump tahun lalu untuk keluar dari perjanjian antarabangsa menyekat program nuklear Iran dan untuk menguatkuasa semula sekatan ekonomi ke atas Iran.

Mac lalu, Amerika Syarikat memberi Iraq pengecualian 90 hari daripada sekatan untuk membeli bahan api dari Iran, sekali gus membolehkan Baghdad terus mendapatkan bekalan kuasa elektrik dari jirannya itu. - Reuters

Berita Harian X