Jumaat, 5 April 2019 | 10:41pm
PESAWAT F-16.
PESAWAT F-16.

Tiada pesawat F-16 Pakistan ditembak India

NEW DELHI: Sebuah majalah di Amerika Syarikat (AS) menimbulkan keraguan serius terhadap dakwaan India bahawa ia menembak jatuh sebuah jet pejuang F-16, ketika pertempuran antara kedua-dua kuasa nuklear terbabit, Februari lalu.

Majalah Foreign Policy yang memetik dua sumber kanan pertahanan AS berkata, pegawai yang menjalankan pengiraan jet F-16 Pakistan, baru-baru ini dan tiada menemui mana-mana pesawat hilang,

Pendedahan itu bertentangan dengan kenyataan Naib Marsyal Udara India, R G K Kapoor yang memaklumkan India berjaya menembak jatuh sebuah pesawat F-16 Pakistan dalam pertempuran di Kashmir pada 27 Februari lalu. Namun, Pakistan menafikan dakwaan itu.

Majalah itu memetik salah seorang daripada beberapa pegawai terbabit sebagai berkata, Pakistan menjemput AS untuk memeriksa pesawat F-16 miliknya secara fizikal.

Banyak perjanjian penjualan peralatan ketenteraan AS kepada negara ketiga mempunyai klausa membenarkan pegawai Washington memeriksa peralatan itu secara kerap.

Pegawai itu berkata, beberapa pesawat terbabit tidak ada, justeru pegawai AS memakan masa beberapa minggu untuk mengira semua jet berkenaan.

“Pengiraan sudah selesai, semua pesawat ada dan sudah dikira,” kata majalah itu memetik pegawai terbabit.

Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan India enggan mengulas laporan itu, sementara jurucakap tentera Pakistan, Asif Ghafoor berkata, kebenaran akan terbukti juga.

“Sudah tiba masanya untuk India bercakap benar mengenai dakwaan palsu dan kerugian di pihak mereka termasuk pesawat kedua yang ditembak jatuh oleh Pakistan,” kata Ghafoor. - AFP

Berita Harian X