Khamis, 4 April 2019 | 9:28pm
Rahul Gandhi (dua dari kanan), presiden parti Kongres India dan saudara perempuannya, Priyanka Gandhi Vadra, melambai ke arah penyokongnya selepas memfailkan dokumen pencalonan pilihan raya di Wayanad, negeri selatan Kerala, India, hari ini. -Foto Reuters
Rahul Gandhi (dua dari kanan), presiden parti Kongres India dan saudara perempuannya, Priyanka Gandhi Vadra, melambai ke arah penyokongnya selepas memfailkan dokumen pencalonan pilihan raya di Wayanad, negeri selatan Kerala, India, hari ini. -Foto Reuters

Rahul Gandhi calon diri di Kerala, halang kemaraan Modi

NEW DELHI: Pemimpin pembangkang India, Rahul Gandhi memfailkan pencalonannya hari ini untuk bertanding kerusi parlimen di selatan negara itu, menyasar mengukuhkan prospek parti Kongres pimpinannya di sebuah rantau di mana kehadiran kepimpinan nasionalis Hindu agak terhad.

Walaupun tinjauan menunjukkan Kongres mengekori rapat parti pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi, Bharatiya Janata (BJP) dalam pilihan raya yang bermula Khamis depan, perlumbaan dilihat semakin sengit.

Gandhi, generasi keempat dinasti Nehru-Gandhi yang memerintah India untuk majoriti sejarahnya sejak kemerdekaan daripada Britain pada 1947, memilih Wayanad di Kerala sebagai kawasan keduanya, sebagai tambahan penguasaan keluarga itu di utara.

“Saya berada di sini untuk menghantar mesej bahawa selatan India sama penting,” katanya kepada media ketika ribuan anggota parti berhimpun di bandar kecil itu.

BJP memiliki pangkalan kukuh pengundi di utara dan barat India, berada di tempat kedua di seluruh selatan kecuali Karnataka, ibu kota hab teknologi Bangalore.

Namun parti itu cuba mengukuhkan kehadirannya di rantau terutama Kerala, di mana Kongres dan parti komunis adalah pemain utama, di mana Gandhi mengintai menggerakkan parti pekerja menerusi pencalonannya.

Beliau disertai saudara perempuannya, Priyanka Gandhi Vadra yang menyertai politik aktif Januari lalu dalam satu tindakan diharapkan Kongres menambah momentum terhadap kempennya.

Gandhi berkata, pencalonannya mengetengahkan perpaduan India serta bertentangan dengan visi ‘Hindu-pertama’ nasionalis Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS) dikaitkan dengan Modi.

“Ada perasaan di selatan India bahawa cara kerajaan, RSS dan Modi bekerja...ramai penduduk di selatan India merasakan budaya, bahasa dan sejarah mereka diserang,” tambahnya.

Kerala memiliki penduduk ketara Islam dan Kristian di negara majoriti Hindu India. Muslim membentuk 27 peratus penduduk negeri yang berjumlah 33.4 juta orang dan Kristian secara kasar 18 peratus, angka bancian menunjukkan.

Kongres menuduh Modi dan kumpulan sayap kanan sekutunya meneruskan agenda partisan dengan menyerang Muslim dan menukar buku sekolah dalam usaha membentuk identiti nasional untuk memaparkan pandangan mereka, bahawa India adalah sebuah negara milik penganut Hindu. -Reuters

Berita Harian X