Isnin, 1 April 2019 | 9:08pm

Gempa bumi 5.2 magnitud gegar sempadan Iran-Iraq

TEHRAN: Gempa bumi berkekuatan 5.2 magnitud menggegarkan wilayah barat Kermanshah, Iran yang bersempadan dengan Iraq, namun tiada laporan kerosakan ataupun kematian diterima setakat ini, kata pihak berkuasa.

Difahamkan, gempa bumi itu menggegarkan kawasan yang baru saja dilanda bencana banjir mengakibatkan seluruh bandar terputus hubungan dan banyak perkampungan ditenggelami air.

Lebih 40 orang dilaporkan terbunuh di seluruh Iran dalam bencana banjir bulan lalu itu.

Pusat seismologi kebangsaan berkata, pusat gempa dikesan 22 kilometer ke selatan bandar Sumar pada kedalaman 10 kilometer.

“Syukur tiada kerosakan atau kematian dilaporkan sehingga kini,” kata gabenor Kermanshah, Houshang Bazvand kepada stesen penyiar rasmi.

Kedudukan Iran yang terletak di atas dua plat tektonik utama menyebabkan ia sering mengalami aktiviti seismik.

Kali terakhir gempa bumi besar melanda Kermanshah adalah pada November 2017 apabila gegaran berkekuatan 7.3 magnitud mengakibatkan 620 orang terbunuh. - AFP

Berita Harian X