Sabtu, 30 March 2019 | 9:04pm

Gempa 6.4 dan 5.3 magnitud landa Papua New Guinea, Greece

PAPUA NEW GUINEA/ATHENS: Gempa bumi berkekuatan 6.4 magnitud melanda pulau New Britain di Papua New Guinea, 300 kilometer di timur Kandrian, hari ini lapor Pusat Amaran Tsunami Pasifik.

Menurut pusat terbabit, gegaran itu berlaku pada jam 1130 GMT (7.30 petang) pada kedalaman 33 kilometer.

Tiada laporan kecederaan, kemusnahan mahupun kematian diterima setakat ini.

Sementara itu, gegaran sekuat 5.3 magnitud menggoncang tengah Greece hari ini, namun tiada laporan kerosakan diterima setakat ini, kata pusat pemerhati kebangsaan.

Gempa pada kedalaman kira-kira 14 kilometer itu berpusat di Teluk Corinth, kira-kira 200 kilometer di barat laut ibu kota Greece, kata agensi terbabit.

Greece terletak pada garis gelinciran utama dan kerap dilanda gempa bumi, tetapi jarang membabitkan kematian.

Namun pada 1999, gempa bumi berkekuatan 5.9 magnitud yang melanda Athens dan wilayah barat laut ibu kota itu mengorbankan 143 orang. - AFP

Berita Harian X