Selasa, 26 March 2019 | 1:06pm
Kanak-kanak Syria yang mendapat pendidikan di Adana. - Foto AFP
Kanak-kanak Syria yang mendapat pendidikan di Adana. - Foto AFP

Dana kecil bantu anak pelarian Syria bersekolah

ADANA, Turki: Bercita-cita menjadi seorang doktor, Fatmeh, 16, remaja pelarian Syria antara yang bertuah dapat menyambung persekolahan dengan sumbangan kurang daripada 10 euro, sebulan.

Fatmeh berasal dari Aleppo, Syria, sudah menetap selama enam tahun di Adana, selatan Turki bersama bapa dan tiga adik lelakinya.

Remaja gigih ini membantu bapanya membuat pastri Syria untuk dijual bagi menyara keluarga mereka.

“Saya tertinggal penggal pertama persekolahan untuk membantu menjaga tiga adik lelaki dan membantu ayah menyiapkan pastri,” katanya kepada AFP ketika waktu rehat di sebuah awam sekolah di Adana.

Gadis ini adalah antara 460,000 kumpulan pelarian di Turki, kebanyakan mereka dari Syria. Setiap keluarga mendapat bantuan bulanan yang bertujuan untuk memastikan anak-anak mereka bersekolah bukannya keluar bekerja.

Mereka menerima bantuan 35-50 lira (RM26-36) untuk anak lelaki dan 40-60 lira (RM29-RM44) untuk anak perempuan. Ia adalah sebahagian daripada Bantuan Tunai Bersyarat untuk program pendidikan yang dibiayai oleh badan antarabangsa seperti Kesatuan Eropah (EU) dan diselenggarakan oleh Tabung Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Pertubuhan Palang Merah dan pihak berkuasa Turki.

Jumlahnya mungkin sedikit, tetapi bagi kebanyakan keluarga Syria yang miskin ia adalah satu rahmat, kerana mereka bergantung hidup dengan bantuan asas dan pekerjaan tidak rasmi, terutama mereka yang mempunyai beberapa orang anak yang masih bersekolah.

Jurucakap operasi kemanusiaan EU, Mathias Eick berkata, bantuan yang diberikan sama seperti yang diberikan kepada beberapa keluarga Turki oleh pihak perkhidmatan sosial untuk mengelak aduan kononnya pelarian Syria mendapat layanan istimewa.

“Kami sudah menyalurkan sebanyak 86 juta euro untuk program itu setakat ini,” katanya kepada AFP.

Turki sudah menempatkan seramai 3.5 juga pelarian dan kebanyakan mereka yang mendapat manfaat daripada program itu adalah rakyat Syria.

Menurut data UNICEF, kira-kira 600,000 kanak-kanak Syria yang bersekolah berada berada dalam sistem pendidikan Turki manakala seramai 400,000 lagi tidak.

Sementara itu, beribu-ribu lagi yang sudah mendaftar sebagai pelajar, berakhir dengan meninggalkan kelas, semata-mata untuk bekerja demi menyara keluarga. - AFP

Berita Harian X