Rabu, 20 March 2019 | 12:42pm
Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev.

Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev umum letak jawatan

ALMATY: Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev semalam, mengejutkan rakyat negara itu, apabila mengumumkan peletakan jawatannya selepas hampir 30 tahun memegang tampuk pemerintahan.

Nazarbayev, 78, mentadbir Kazakhstan sejak sebelum kejatuhan Kesatuan Soviet dan tidak melantik mana-mana individu untuk menggantinya dengan jelas.

Bagaimanapun, beliau bakal meneruskan penguasaan dalam negara, selaras dengan kedudukannya mengikut Perlembagaan sebagai ‘Pemimpin Negara’.

Beliau juga memegang jawatan sebagai ketua majlis keselamatan negara, yang disandang seumur hidup.

“Saya sudah membuat satu keputusan yang sangat sukar, iaitu meletakkan jawatan sebagai Presiden Republik Kazakhstan.

“Saya kini memikul tanggungjawab untuk memastikan kepemimpinan generasi baharu mampu meneruskan transformasi yang sudah dilaksanakan di negara ini,” kata Nazarbayez dalam ucapan yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen ke seluruh negara.

Beliau berkata, pengerusi Senat Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev, 65, akan mengambil alih tugasnya, sehinggalah pilihan raya presiden diadakan selewat-lewatnya Mac tahun depan.

Tokayev dijangka mengangkat sumpah sebagai pemimpin sementara Kazakhstan, hari ini.

Selain itu, Nazarbayez berkata, beliau akan terus mengetuai parti pemerintah, parti Nur Otan.

“Saya akan sentiasa bersama anda, keperluan negara dan rakyat akan sentiasa keutamaan saya,” katanya. - AFP

Berita Harian X