Rabu, 20 Februari 2019 | 4:57pm
Seorang lelaki berjalan bersebelahan papan tanda ke Kedutaan AS di Baitulmaqdis. -Foto Reuters
Seorang lelaki berjalan bersebelahan papan tanda ke Kedutaan AS di Baitulmaqdis. -Foto Reuters

AS gabung konsulat urus isu Palestin dengan misi Baitulmaqdis, Mac

BAITULMAQDIS: Pejabat Konsulat Amerika Syarikat (AS) di sini yang memberi khidmat untuk Palestin akan diserapkan ke dalam kedutaan baharu negara itu ke Israel bermula Mac ini, kata seorang pegawai negara itu semalam, langkah dikecam Palestin.

Keputusan mewujudkan satu misi tunggal diplomatik diumumkan Oktober lalu oleh Setiausaha Negara AS Mike Pompeo, yang tidak mengatakan bila ia berkuat kuasa.

“Penggabungan konsulat dan kedutaan akan dilaksanakan pada 4 atau 5 Mac ini, di mana khidmat pejabat konsul ditamatkan,” kata pegawai AS yang enggan dikenali kerana tarikh itu belum diumumkan Washington.

Presiden AS Donald Trump menaikkan kemarahan dunia Arab dan mencetuskan kebimbangan antarabangsa dengan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel pada Disember lalu dan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke sini Mei lalu.

Pemimpin Palestin menggantung hubungan dengan pentadbiran AS selepas perpindahan kedutaan berkenaan.

Pejabat Konsulat di sini adalah misi utama untuk Palestin yang mana dengan sokongan meluas antarabangsa untuk menjadikan Timur Baitulmaqdis sebagai ibu kota negara akan datang di jajahan diduduki Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Ketika pengumuman Pompeo, pemimpin kanan Palestin, Saeb Erekat mengecam keputusan menghapuskan konsulat itu sebagai bukti terbaharu pentadbiran Trump bersekongkol dengan Israel untuk melaksanakan ‘Greater Israel’ berbanding penyelesaian dua negara.

Ditanya mengenai penggabungan itu, seorang jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rudeineh memberitahu Reuters, tiada apa yang mengubah pandangan mereka.

“Hubungan di peringkat politik dengan pentadbiran AS diputuskan dan akan kekal kecuali pentadbiran AS mengubah kedudukan Baitulmaqdis dan pelarian,” katanya.

Katanya, bagaimanapun masih ada ‘hubungan di peringkat keselamatan untuk memerangi keganasan.’ -Reuters

Berita Harian X