Jumaat, 14 Disember 2018 | 10:30am
SCOTT Morrison. - Foto AFP
SCOTT Morrison. - Foto AFP

Isu Baitulmaqdis, Australia minta rakyat berhati-hati ke Indonesia

SYDNEY : Kerajaan Australia hari ini mengingatkan rakyatnya supaya berhati-hati jika membuat perjalanan ke Indonesia susulan keputusan negara itu mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang baru.

Perdana Menteri Scott Morrison dijangka membuat pengumuman khas esok susulan keputusan Australia untuk menurut jejak langkah Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berhubung pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Kementerian Luar negara itu memberi amaran, sejumlah besar rakyat Australia yang bakal berlepas ke Bali dan beberapa kepulauan tropika lain sempena cuti musim panas diminta lebih berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Pegawai di Canberra memberitahu, mereka menjangkakan keputusan berkenaan diumumkan esok sempena hari suci pengikut Yahudi iaitu Sabbath namun tidak menolak kemungkinan akan berlaku perubahan.

Israel dan Palestin kedua-duanya menuntut Baitulmaqdis sebagai ibu negara masing-masing dan pengkritik menyifatkan, pengisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel menggantikan Tel Aviv hanya akan mengeruhkan lagi suasana serta mengganggu fasa akhir rundingan damai.

Keputusan Trump memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv Mei lalu mencetuskan rusuhan oleh ribuan penduduk Palestin yang bertindak menghampiri bahagian sempadan walaupun dikawal ketat tentera Zionis.

Sekurang-kurangnya 62 penduduk Palestin terbunuh ditembak tentera Israel pada hari perpindahan kedutaan AS itu.

Morrison dijangka tidak akan meneruskan perpindahan kor diplomatik Australia ke bandar suci itu susulan kebimbangan mengenai pertambahan kos dan implikasi keselamatan.

Justeru, sokongan Australia terhadap pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dilihat mampu membantu Perdana Menteri Australia itu memenangi hati pengundi Yahudi dan sokongan rakan-rakan di Rumah Putih. - AFP

Berita Harian X