Isnin, 26 November 2018 | 1:43pm

Insiden kedua jarum dalam strawberi berlaku di New Zealand

WELLINGTON : Polis mengesahkan penemuan jarum dalam buah strawberi di New Zealand hari ini, insiden kedua seumpamanya dalam tempoh dua bulan selepas krisis pencemaran melanda Australia.

Jurucakap polis New Zealand berkata, jarum berkenaan ditemui dalam sebakul kecil buah yang dijual di pekan Geraldine di South Island hujung minggu lalu.

Pemilik pasar raya berkenaan, Garry Sheed berkata beliau telah menarik semula kesemua buah berkenaan tetapi enggan memberikan sebarang komen sama ada ia berasal dari Australia atau keluaran tempatan.

Insiden di New Zealand ini adalah yang kedua seumpamanya sejak ia berlaku kali pertama di Australia pada September lalu, apabila lebih 200 kes jarum tertanam dalam buah strawberi dilaporkan di Australia.

Bagaimanapun ada antara kes dilaporkan itu hanya palsu atau tersalah lapor.

Seorang wanita berusia 50 tahun yang bekerja di sebuah ladang strawberi terbabit mengeluarkan produk tercemar itu ditahan di Queensland dan dituduh mencemarkan produk berkenaan.

Kementerian Perindustrian Utama (MPI) New Zealand berkata, individu bertanggungjawab menemui jarum itu di Geraldine berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang komplikasi kesihatan.

“Kes ini sudah dirujuk kepada polis yang menjalankan siasatan jenayah. Buat masa ini MPI tidak mempunyai sebarang sebab untuk mempercayai ia sudah tersebar luas tetapi langkah penjagaan awal tetap diambil dengan menarik semula buah itu dari pasaran,” katanya. - AFP

Berita Harian X