Isnin, 19 November 2018 | 10:06am
Susulan peletakan jawatan Lieberman Rabu lalu, kerajaan gabungan pimpinan Netanyahu hanya memiliki majoriti satu undi dalam Parlimen. -Foto Reuters
Susulan peletakan jawatan Lieberman Rabu lalu, kerajaan gabungan pimpinan Netanyahu hanya memiliki majoriti satu undi dalam Parlimen. -Foto Reuters

Netanyahu gesa rakan gabungan usah jatuhkan kerajaan

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menggesa rakan gabungannya semalam supaya tidak menjatuhkan kerajaan, memetik cabaran keselamatan menanti dan memberi bayangan tindakan ketenteraan akan datang negara Yahudi itu ke atas musuhnya.

Netanyahu, ketua parti sayap kanan, Likud, membuat usaha terakhir bagi mengelak kejatuhan kerajaannya, dilemahkan oleh peletakan jawatan Menteri Pertahanannya, Avigdor Lieberman.

Kalangan cerdik pandai politik meramalkan pilihan raya awal mungkin diadakan seawal Mac depan berbanding November 2019 seperti dijadualkan.

“Saya bercakap dengan ketua gabungan. Saya memberitahu mereka inilah masanya menunjukkan sikap tanggungjawab. Jangan menjatuhkan kerajaan, terutama bukan ketika masa sensitif dari segi keselamatan,” katanya dalam ucapan disiarkan televisyen.

Peletakan jawatan Lieberman diumumkan Rabu lalu dalam apa yang disifatkan dasar lembut kerajaan terhadap peningkatan keganasan merentasi sempadan dengan pejuang Palestin di Semenanjung Gaza, membiarkan kerajaan dengan hanya satu majoriti dalam kerusi Parlimen.

Ia meletakkan nasib gabungan kerajaan pimpinan Netanyahu atas belas ihsan rakannya, yang menyaksikan populariti Perdana Menteri empat penggal itu menurun dalam satu tinjauan pendapat yang menunjukkan rakyat Israel tidak gembira dengannya berkaitan isu Gaza.

Terdahulu, Netanyahu bertemu Menteri Kewangan, Moshe Kahlon dari parti tengah-kanan, Kulanu yang menggesanya menetapkan tarikh pilihan raya awal. -Reuters

Berita Harian X