Selasa, 13 November 2018 | 1:19pm
Penduduk berulang alik dalam suasana jerebu teruk di New Delhi, semalam. -Foto Reuters
Penduduk berulang alik dalam suasana jerebu teruk di New Delhi, semalam. -Foto Reuters

Gelandangan diberi topeng ketika jerebu semakin teruk

NEW DELHI: Golongan gelandangan di ibu kota India di sini akan diberi topeng muka bagi membantu mereka meneruskan hidup di bandar paling tercemar di dunia itu, kata pihak berkuasa semalam.

Pakar bagaimanapun berkata, penutup muka asas itu tidak berguna bagi menghalang partikel kabut (asbut) yang membawa maut.

Setiap musim sejuk, ibu kota dengan 20 juta penduduk itu berdepan jerebu ekstrem melebihi paras selamat pencemar bawaan udara sehingga 30 kali ganda.

Golongan miskin dan gelandangan terutamanya paling teruk terjejas, berikutan pendedahan berterusan asap kenderaan, cerobong asap kilang dan habuk tapak pembinaan.

Langkah mengekang kabut itu, daripada mengurangkan aliran sesak lalu lintas dan pembakaran mercun sehinggalah melarang petani membakar sisa tanaman, gagal membersihkan udara.

Wakil kerajaan bandar, Bipin Rai memberitahu AFP, 10,000 topeng muka akan diberi kepada ‘keluarga gelandangan, wanita, pesakit dan kanak-kanak ketika paras pencemaran meningkat.’

Namun pakar mengatakan, topeng itu hanya menawarkan sedikit atau tiada perlindungan daripada pencemar paling beracun di udara, partikel amat kecil dikenali sebagai PM2.5, yang boleh menembusi jantung dan sistem kardiovaskular.

Pakar mengatakan, topeng itu hanya menawarkan sedikit atau tiada perlindungan kepada penduduk miskin dan gelandangan yang terjejas teruk di New Delhi, India. -Foto Agensi
Pakar mengatakan, topeng itu hanya menawarkan sedikit atau tiada perlindungan kepada penduduk miskin dan gelandangan yang terjejas teruk di New Delhi, India. -Foto Agensi

“Topeng muka ini tidak berguna, oleh kerana partikel halus amat berbahaya kepada tubuh manusia tidak dapat ditapis,” kata Vivek Chattopadhyay dari Pusat Sains dan Alam Sekitar.

Partikel kecil dalam udara boleh diserap ke dalam aliran darah dan dikaitkan dengan bronkitis kronik, kanser paru-paru dan penyakit jantung. -AFP

Berita Harian X