Isnin, 12 November 2018 | 11:16am

Wanita Australia didakwa cemar strawberi dengan jarum

SYDNEY: Seorang wanita berusia 50 tahun bakal dihadapkan ke mahkamah hari ini selepas polis mendakwanya atas tuduhan mencemarkan strawberi dengan jarum.

Industri strawberi Australia yang bernilai kira-kira AS$116 juta (RM485 juta) terjejas September lalu selepas hampir 200 aduan diterima membabitkan penemuan jarum jahitan di dalam strawberi dan buah-buahan lagi.

Sejumlah pasar raya besar menarik balik tempahan kerana pelanggan takut untuk membeli sekali gus memaksa petani membuang buah itu ketika ancaman muflis semakin meluas.

Polis Australia berkata hari ini, seorang wanita berusia 50 tahun didakwa ke atas tujuh kes pencemaran, tuduhan pertama yang dibentangkan dalam kes itu.

“Ia antara siasatan yang paling mencabar pernah saya kendalikan,” kata Polis Queensland, Penguasa Jon Wacker kepada wartawan di Brisbane, lokasi pertama kes pencemaran itu dilaporkan.

Polis berkata, wanita itu adalah bekas pekerja di salah sebuah syarikat pengeluar jenama yang terjejas, namun tidak mendedahkannya.

Jika sabit kesalahan, wanita itu mungkin berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun selepas kerajaan Australia mengetatkan hukuman penjara bertujuan membendung krisis terbabit.

Perdana Menteri Queensland, Annastacia Palaszczuk, berkata Selasa lalu kerajaannya akan menyediakan AS$722,400 (RM3 juta) untuk membantu petani melalui musim seterusnya dengan lancar. - Reuters

Berita Harian X