Rabu, 31 Oktober 2018 | 2:52pm
ASIA Bibi dibebaskan daripada tuduhan menghina Islam selepas Mahkamah Agung Pakistan menterbalikkan sabitan terhadapnya. - Foto EPA
ASIA Bibi dibebaskan daripada tuduhan menghina Islam selepas Mahkamah Agung Pakistan menterbalikkan sabitan terhadapnya. - Foto EPA

Wanita dibebas tuduhan hina Islam

ISLAMABAD: Seorang wanita Kristian yang berdepan hukuman mati dibebaskan daripada tuduhan menghina Islam selepas Mahkamah Agung Pakistan menterbalikkan sabitan terhadapnya.

Ketua Hakim Pakistan Saqib Nisar dalam penghakiman terhadap Asia Bibi berkata: “Rayuan dibenarkan. Dia dibebaskan. Keputusan mahkamah tinggi dan mahkamah perbicaraan diterbalikkan. Sabitannya diketepikan.”

Menurut mahkamah, Asia dibebaskan serta-merta, namun tidak didedahkan sama ada kawalan keselamatan disediakan untuknya.

Peguam belanya, Saif-ul-Mulook memberitahu AFP: “Keputusan ini menunjukkan golongan miskin, minoriti malah yang paling rendah dalam masyarakat sekalipun mampu mendapat keadilan di negara ini.

Kes terhadap Asia menarik perhatian kumpulan hak asasi manusia seterusnya menjadi kes paling berprofil tinggi di negara itu.

Pope Benedict XVI menggesa pembebasannya pada 2010, manakala pada 2015 anak perempuan Asia menemui Pope Francis yang menggantinya.

Tuduhan terhadap Bibi membabitkan kejadian pada 2009 apabila dia diarahkan mengambil air ketika bekerja di ladang. Beberapa wanita di situ marah kerana tidak mahu menyentuh air dibawakan seseorang yang tidak beragama Islam sebelum mengadu kepada seorang imam tempatan kononnya menghina Nabi Muhammad SAW, iaitu tuduhan yang membawa hukuman mati.

Berita Harian X