Isnin, 29 Oktober 2018 | 8:56pm
MENTERI Kebudayaan dan Sukan Israel, Miri Regev mengunjungi Masjid Besar Sheikh Zayed di Abu Dhabi. - Foto Reuters

Menteri kontroversi Israel lawat masjid UAE

ABU DHABI: Menteri Kebudayaan dan Sukan Israel, Miri Regev, hari ini berkongsi video di Facebook mengenai kunjungannya ke masjid terkenal di Emiriah Arab Bersatu, dalam lawatan julung kali oleh anggota Kabinet rejim Zionis itu.

Regev, yang dikenali kerana kenyataan kontroversi mengenai Arab, berpakaian abaya merah dengan skaf putih melindungi rambutnya di Masjid Besar Sheikh Zayed di Abu Dhabi.

“Saya melawat masjid itu. Ini adalah kali pertama menteri Israel berada di sini untuk tujuan lawatan,” katanya dalam bahasa Hebrew, dikelilingi sekumpulan orang berpakaian tradisi UAE.

Anggota parti Likud pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu itu melawat masjid berkenaan kelmarin, menurut jurucakapnya.

Negaranya tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan UAE.

Pegawai Israel secara terbuka mengunjungi lokasi mercu tanda di UAE hujung minggu lalu, lawatan pertama seumpama itu, beberapa hari selepas Netanyahu melawat Oman.

Lawatan dibuat sehari selepas lagu kebangsaan Israel dimainkan di kejohanan judo di Abu Dhabi selepas seorang atlitnya menang emas, dipercayai kali pertama ia berkumandang secara terbuka di negara Arab Teluk. — AFP

Berita Harian X