Ahad, 28 Oktober 2018 | 9:44pm
PETUGAS melakukan semburan bagi mengelak nyamuk membiak di kawasan Ahmedabad. - Foto AFP

Virus Zika dikesan di Gujarat

NEW DELHI: Virus Zika yang disebarkan menerusi gigitan nyamuk berjaya dikesan di barat negeri Gujarat selepas hampir 150 kes dilaporkan di Rajasthan, tahun ini.

Pihak berkuasa kesihatan di Gujarat berkata, seorang wanita disahkan positif virus Zika dan kini sedang dirawat di sebuah hospital awam di ibu negeri Ahmedabad, kes pertama disahkan berlaku di luar negeri itu.

“Setakat ini, hanya satu kes berjaya ditemui. Kami sedang mengambil langkah pencegahannya, “ kata Suruhanjaya Kesihatan Gujarat, Jayanti Ravi memberitahu AFP hari ini.

Jabatan kesihatan negeri mengerahkan ratusan doktor dan pasukan perubatan untuk melakukan pemeriksaan kecemasan virus Zika termasuk 250 wanita hamil yang demam.

Difahamkan jabatan kesihatan di Gujarat sudah melakukan semburan asap di tempat awam dalam usaha membunuh nyamuk yang membawa penyakit. - AFP

Berita Harian X