Rabu, 17 Oktober 2018 | 2:34pm
Ayah mangsa rogol, Ameen Ansari (tengah) meninggalkan Penjara Kot Lakhpat di Lahore berikutan pelaksanaan hukuman gantung pesalah, Imran Ali, yang telah disabitkan dengan jenayah. - Foto AFP

Pakistan hukum gantung pembunuh kanak-kanak

LAHORE: Pihak berkuasa Pakistan hari ini melaksanakan hukuman gantung ke atas seorang lelaki yang didapati bersalah memperkosa dan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.

Kejadian yang menggemparkan Pakistan itu turut mencetuskan beberapa rusuhan awal tahun ini.

Tidak lama kemudian, televisyen menyiarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selepas pembunuhan itu yang dikatakan menunjukkan mangsa, Zainab Fatima Ameen berjalan memegang tangan seorang lelaki tidak dikenali.

Rakaman berkenaan berkemungkinan menunjukkan saat-saat akhir mangsa sebelum dibunuh.

Imran Ali, 24, dikenakan empat hukuman mati berasingan atas kesalahan rogol dan bunuh. Kejadian berlaku di bandar timur Pakistan, Kasur, pada Januari lalu.

Dia mengaku salah melakukan lapan serangan ke atas kanak-kanak di bandar itu termasuk lima pembunuhan dalam keganasan yang mencetuskan ketakutan di kalangan masyarakat.

“Dia telah dihukum gantung pagi ini di penjara sambil disaksikan pegawai pusat tahanan dan bapa mangsa,” kata seorang pegawai di penjara pusat Lahore.

“Mayatnya telah diserahkan kepada keluarganya yang telah membawanya untuk dikebumikan,” katanya lagi.

Anggota keluarga Zainab meminta supaya hukuman gantung itu dilakukan di khalayak ramai tetapi mahkamah tinggi Lahore menolaknya, semalam.

Sekurang-kurangnya 12 kes rogol dan bunuh direkodkan di Kasur sejak dua tahun lalu.

Ali mengaku bersalah melakukan lapan pembunuhan tetapi empat lagi kes belum diketahui pelakunya. - AFP

Berita Harian X