Rabu, 10 Oktober 2018 | 11:33am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

China makin tegas terhadap pengamal agama

SHANGHAI: Pihak berkuasa Urumqi ibu negeri Xinjiang, wilayah terbesar penduduk Islam China, bakal mengenakan tindakan keras terhadap aktiviti yang dianggap cuba mempengaruhi ajaran agama dalam kehidupan sekular.

Kerajaan tempatan juga bakal mengenakan tindakan keras terhadap mana-mana usaha menggalakkan ajaran ‘pelampau’.

Menurut notis yang disiarkan di akaun rasmi laman bual bicara Wechat, ketika pertemuan pada Isnin lalu, pemimpin komunis tempatan berkata, mereka mahu pegawai kerajaan dan ahli parti meyakini sepenuhnya fahaman Marxisme-Leninisme serta berbahasa Mandarin ketika berada di tempat awam.

China dikecam hebat beberapa kumpulan hak asasi manusia dan kerajaan luar ketika laporan tindakan keras punitif yang menyaksikan penahanan lebih sejuta orang, kebanyakannya terdiri daripada etnik Islam Uighurs di Xinjiang.

Bagaimanapun, Beijing menafikan tuduhan yang mereka melakukan pelanggaran secara sistematik hak penduduk Islam Xinjiang, dengan alasan ia adalah tindakan tegas untuk mengekang kumpulan pelampau dan pemisah di wilayah itu.

Pada masa sama, Urumqi sedang mengambil tindakan terhadap permintaan ‘kecenderungan pan-Halal’ yang dibuat penduduk Islam terhadap produk seperti susu dan ubat gigi yang patuh syariah sepenuhnya.

Akhbar Global Times melaporkan hari ini, permintaan terhadap produk halal dianggap sebagai menyemarakkan permusuhan agama dan membenarkan ajaran Islam mempengaruhi kehidupan sekular.

Secara teorinya rakyat China adalah bebas mengamalkan apa juga ajaran agama tetapi mereka tertakluk kepada peningkatan tahap pengawasan, kerana kerajaan berusaha mengawal ketat amalan beragama.

Beijing sudah berulang kali mengenakan tindakan keras terhadap aktiviti agama yang tidak dibenarkan dan bulan lalu garis panduan baharu diperkenalkan sebagai tindakan keras terhadap penyebaran maklumat agama dalam talian secara haram. - Reuters

Berita Harian X