Isnin, 17 September 2018 | 9:22pm

Jarum dalam strawberi di dua lagi negeri Australia

MELBOURNE: Jarum dalam strawberi ditemui di dua lagi negeri Australia, kata polis hari ini, meluaskan lagi ketakutan berkaitan kesihatan yang menjurus pasar raya memanggil semula jenama dan petani supaya membuang buah itu di tengah kemuncak musim.

Menurut polis, seorang lelaki di negeri Barat Australia dan gadis di Selatan Australia melaporkan menemui jarum dalam strawberi sejak dua hari lalu.

Tujuh jenama strawberi di Australia kini dipercayai tercemar dengan jarum dan pin, menurut laporan polis, menyebabkan amaran dikeluarkan pihak berkuasa supaya memotong buah sebelum memakannya.

Pesuruhjaya Polis Queensland, Ian Stewart memberitahu media hari ini, tidak jelas jika pencemaran itu akibat seorang individu bertindak sendirian atau beberapa orang bertindak bebas oleh kerana mengesan rangkaian bekalan rumit itu memakan masa.

Pelanggan di Queensland adalah yang pertama melaporkan menemui jarum di dalam strawberi.

“Seorang individu hadir di Balai Polis York untuk melaporkan kebimbangan beliau, sebatang jarum ditemui dalam buah strawberi.

“Individu itu mendakwa, dia terjumpa jarum dalam sinki selepas membersihkan strawberi untuk keluarganya. Dia tidak perasan jarum dalam sinki sebelum membersihkannya,” kata polis Barat Australia dalam satu kenyataan.

Sementara itu, polis Selatan Australia berkata, mereka menasihatkan orang awam supaya memeriksa bekas strawberi Mal’s Black Label susulan laporan sebatang jarum ditemui dalam buah itu pagi semalam.

“Apabila buah itu dimakan pagi ini, sebatang jarum ditemui dalam satu daripada strawberi. Tiada laporan kecederaan,: kata polis negeri. Polis di kedua-dua negeri sedang menyiasat perkara itu.

Dua rangkaian pasar raya terbesar New Zealand juga mengambil keputusan hari ini menghentikan pesanan strawberi Australia, walaupun Kementerian Perusahaan Utama negara itu mengesahkan tiada satu pun jenama straberi tercemar berada di pasaran.

Polis Australia berkata, buah tercemar itu berasal dari pembekal berpusat di Queensland. Queensland adalah pengeluar utama strawberi dalam industri bernilai lebih A$130 juta (RM385.66 juta) setahun. -Reuters

Berita Harian X