Khamis, 13 September 2018 | 10:39pm

Mahkamah tertinggi Turki larang solat di Hagia Sophia

ISTANBUL: Mahkamah tertinggi Turki, hari ini menolak rayuan untuk membolehkan umat Islam solat di Hagia Sophia, yang kini berfungsi sebagai sebuah muzium.

Bangunan itu mempunyai sejarah panjang, mulanya sebagai gereja kemudian menjadi masjid.

Mahkamah Perlembagaan menolak tuntutan sebuah pertubuhan untuk membolehkan umat Islam solat di Hagia Sophia atas asas permohonan itu ‘tidak mempunyai kelayakan’ dan sebarang perubahan tidak sepatutnya berlaku kepada bangunan terbabit, lapor agensi berita rasmi Anadolu.

Dalam rayuan, pertubuhan itu mendakwa tindakan melarang umat Islam solat di Hagia Sophia melanggar hak kebebasan bersuara.

Laman web Haberturk berkata, tuntutan itu dilakukan sebuah pertubuhan warisan bebas di Turki.

Hagia Sophia ditukar kepada muzium yang boleh diakses oleh semua penganut agama oleh pengasas negara Turki moden sekular pada 1930-an.

Golongan sekular Turki bimbang sebarang tindakan meng-Islamkan bangunan itu atau kembali menjadikannya sebagai masjid. - AFP

Berita Harian X