Sabtu, 8 September 2018 | 12:20pm
ANGKA kematian kejadian tanah runtuh di utara Jepun meningkat kepada 30 orang, hari ini. - Foto EPA
ANGKA kematian kejadian tanah runtuh di utara Jepun meningkat kepada 30 orang, hari ini. - Foto EPA

30 maut gempa bumi di Hokkaido

TOKYO: Angka kematian kejadian tanah runtuh di utara Jepun meningkat kepada 30 orang, hari ini, ketika puluhan ribu anggota penyelamat berusaha mengesan penduduk yang terselamat.

Sebahagian besar mangsa yang terkorban adalah penduduk bandar kecil di Atsuma, apabila gempa bumi berukuran 6.6 magnitud, pada Khamis lalu mengakibatkan lereng bukit di kawasan itu runtuh, lalu memusnahkan banyak kediaman.

Menurut pihak berkuasa tempatan di Hokkaido, kira-kira sembilan lagi penduduk dilaporkan masih hilang, manakala 400 lagi mengalami cedera ringan.

“Kejadian tanah runtuh tidak pernah berlaku di sini. Saya tidak percaya ia berlaku, sehinggalah saya melihatnya sendiri.

“Ketika melihatnya, saya tahu, tiada siapa yang akan terselamat,” kata Akira Matsushita kepada stesen televisyen Asahi.

Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, berkata bekalan elektrik di pulau itu berjaya dipulihkan semula.

Sebelum ini, tiga juta penduduk terputus bekalan elektrik apabila loji jana kuasa musnah dalam gempa bumi terbabit.

“Jumlah penduduk yang terputus bekalan elektrik ketika ini berjaya dikurangkan kepada 20,000, selepas semua pihak bertungkus lumus memulihkan bekalan,” katanya pada mesyuarat Kabinet bagi membincangkan insiden gempa bumi berkenaan.

Pada masa sama, Abe berkata, kerajaan akan menyalurkan dana kecemasan bagi memudahkan penghantaran makanan, bekalan air dan minyak untuk kegunaan penjana kuasa di beberapa hospital.

Setakat ini, 31,000 penduduk masih terputus bekalan air, manakala kira-kira 16,000 lagi penduduk sedang mendapatkan perlindungan di pusat penempatan sementara. - AFP

Berita Harian X