Jumaat, 7 September 2018 | 3:22pm
Sekurang-kurangnya 22 orang masih belum ditemui di pekan kecil Atsuma selepas banyak kediaman ranap dihempap tanah runtuh berikutan gempa berukuran 6.6 magnitud. - Foto EPA
Sekurang-kurangnya 22 orang masih belum ditemui di pekan kecil Atsuma selepas banyak kediaman ranap dihempap tanah runtuh berikutan gempa berukuran 6.6 magnitud. - Foto EPA

Penyelamat cari mangsa hilang gempa di Hokkaido

TOKYO: Pekerja penyelamat Jepun menggunakan jentolak dan anjing pengesan untuk mencari mangsa tanah runtuh yang menimbus kediaman penduduk Hokkaido yang dilanda gempa bumi semalam ketika angka kematian meningkat kepada 18 orang.

Sekurang-kurangnya 22 orang masih belum ditemui di pekan kecil Atsuma selepas banyak kediaman ranap dihempap tanah runtuh berikutan gempa berukuran 6.6 magnitud.

“Kami dengar masih ada orang terperangkap dalam lumpur, jadi kami berusaha mencari mereka tetapi ini memang sukar. Kami akan cuba kesan mereka seberapa segera,” kata seorang anggota tentera kepada stesen televisyen NHK.

Seorang warga tua di Atsuma pula berkata: “Saudara saya masih tertimbus di bawah lumpur dan belum ditemui, jadi saya tidak dapat tidur semalaman. Keadaan tidak tenang kerana gempa susulan juga berlaku.”

Kira-kira 1.6 juta penduduk di utara pulau Hokkaido masih tidak menerima bekalan elektrik selepas gempa itu juga merosakkan sebuah loji kuasa ke rantau berkenaan.

Menteri Industri, Hiroshige Seko berkata angka kediaman yang terputus bekalan akan menurun kepada 550,000 hari ini dan menjangka keadaan akan pulih dalam tempoh seminggu.

Beliau menggesa penduduk menjimatkan bekalan dengan mengurangkan penggunaan lampu di kedai dan restoran selain mencadangkan sesebuah keluarga berkumpul di satu bilik bagi tujuan sama.

Kira-kira 22,000 anggota bantuan termasuk askar mengedarkan bekalan air dengan ramai yang menunggu mengisi minyak di stesen minyak serta membeli makanan di pasar raya ketika penduduk berusaha menyimpan bekalan keperluan selepas gempa melanda. - AFP

Berita Harian X