Jumaat, 7 September 2018 | 10:30am
RUANG pejalan kaki rosak akibat gempa bumi yang melanda utara pulau Hokkaido - Foto EPA
RUANG pejalan kaki rosak akibat gempa bumi yang melanda utara pulau Hokkaido - Foto EPA

Korban gempa Hokkaido meningkat 16 orang

TOKYO: Korban gempa bumi yang menggegarkan utara pulau Hokkaido Jepun meningkat sekurang-kurangnya 16 orang manakala 26 lagi masih hilang, kata Perdana Menteri Shinzo Abe hari ini.

Gempa berkekuatan 6.7 magnitud itu juga menyebabkan lebih separuh daripada 5.3 juta penduduk di pulau berkenaan terputus bekalan elektrik selain mengakibatkan tanah runtuh yang meranapkan kediaman.

Pulau bersaiz negara Austria yang terkenal dengan kawasan pergunungan, tasik dan makanan laut itu terputus bekalan elektrik selepas gempa bumi menyebabkan Hokkaido Electric Power Co terpaksa menutup loji kuasanya sebagai langkah berjaga-jaga.

Setakat ini 1.31 juta daripada 2.95 juta pelanggannya sudah menerima bekalan elektrik, kata Kementerian Ekonomi Perdagangan dan Industri.

Menteri Industri, Hiroshige Seko berkata, kuasa elektrik akan kembali pulih sepenuhnya dalam masa sekurang-kurangnya seminggu.

Gempa bumi itu adalah bencana besar kedua yang melanda Jepun minggu ini selepas dipukul taufan, banjir dan gelombang haba.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai masih ditutup selepas Taufan Jebi membadai Osaka pada Selasa, namun beberapa penerbangan tempatan kendalian Japan Airlines (JAL) dan penerbangan tambang murah, Peach Aviation kendalian ANA kembali beroperasi hari ini.

Lapangan terbang utama Hokkaido, New Chitose sedang membuat persiapan untuk menggerakkan beberapa penerbangan sekitar jam 11 pagi hari ini, kata seorang jurucakap.

Operasi kereta api laju juga akan disambung semula tengah hari ini. Bagaimanapun, kebanyakan sektor perkilangan masih terjejas akibat gangguan bekalan elektrik. - Reuters

Berita Harian X